Anda di sini

Hafez beri jaminan bantuan bakul makanan mencukupi

Advertisement
 Hafez menyampaikan bantuan bakul makanan kepada salah seorang penerima.
GIMIK: Hafez menyampaikan bantuan bakul makanan kepada salah seorang penerima.

SIPITANG: Ahli Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa memberi jaminan bantuan bakul makanan kepada golongan B40 dan e-Kasih di daerah ini lebih dari mencukupi memandangkan pihak terlibat telah menyediakan lebih daripada sasaran.

Katanya, sekitar 7,000 bakul makanan telah disediakan untuk para penerima bantuan COVID-19 dan pihak terlibat berusaha mempercepatkan proses pengagihan bantuan bakul makanan walaupun berdepan dengan kesukaran dari segi logistik.

Minggu lepas, sebanyak 400 bakul makanan diagihkan kepada penerima kemudian disusuli hari berikutnya sebanyak 500 manakala bakinya dijangka diselesaikan pengagihannya dalam minggu ini.

Justeru jelasnya, tidak timbul isu bantuan 'tidak mencukupi' memandangkan jumlah yang disediakan melebihi anggaran cuma proses pengagihannya memakan sedikit masa berikutan kekangan logistik dan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan bakul makanan secara simbolik kepada 20 penerima yang diadakan di perkarangan Pejabat Daerah Sipitang, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah UPPM Sabah Datuk Matbali Musah, Pegawai Daeah Sipitang Mat Sawi Salleh dan Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh.

Dalam pada itu, Hafez turut mengingatkan rakyat khususnya di daerah Sipitang supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian wabak pandemik COVID-19 memandangkan masih terdapat kes aktif di negeri ini.

Katanya, pematuhan rakyat terhadap SOP adalah amat penting memandangkan wabak berkenaan mampu memberi ancaman yang lebih teruk sekiranya rakyat tidak memandang serius perkara itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Hafez turut meluangkan masa mendengar taklimat mengenai perkembangan kes COVID-19 termasuklah perkembangan Pusat Kawalan dan Rawatan (PKRC) COVID-19 serta taklimat keselamatan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah di Pejabat Daerah.

  • oleh
  • Advertisement