Anda di sini

DUN Telupid terima 6,000 bantuan bakul makanan

Advertisement
 Jonnybone (tengah) menyerahkan bantuan bakul makanan kepada penduduk di Dewan Serbaguna Daerah Telupid.
SERAH: Jonnybone (tengah) menyerahkan bantuan bakul makanan kepada penduduk di Dewan Serbaguna Daerah Telupid.

TELUPID: Rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telupid telah menerima sebanyak 6,000 bantuan bakul makanan khususnya kepada ketua isi rumah dari golongan B40.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid Jonnybone J. Kurum berkata, bantuan bakul makanan berkenaan sememangnya dapat membantu serta meringankan beban rakyat semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa.

“Bagi mewakili penduduk kawasan Telupid, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atas bantuan yang telah diberikan. 

“Memandangkan Telupid merupakan DUN yang baharu dan terletak jauh di pendalaman, agak sukar untuk penduduk di sini keluar ke pekan untuk membeli makanan. 

“Saya juga bersyukur kerana penduduk kawasan Telupid terus mendapat perhatian daripada kerajaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, sebanyak empat kampung dalam mukim Liwogu, iaitu Kg. Baba, Kg. Ansuan, Kg. Berayong dan Kg. Kiabau menerima bekalan terlebih dahulu.

Katanya, penyaluran bantuan itu dilaksanakan oleh Pejabat Daerah Telupid dengan bantuan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). 

“Bantuan akan diedarkan secara berperingkat kerana ruang dewan serbaguna tidak cukup untuk menempatkan stok yang banyak. 

"Baki yang seterusnya bagi  37 buah kampung akan diagihkan esok dan seterusnya," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan supaya semua rakyat kawasan Telupid terus mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19.

  • oleh
  • Advertisement