Anda di sini

109 diberkas menerusi operasi di enam kampung

Advertisement
Fatimah bertanyakan sesuatu dengan suspek wanita ditangkap dalam operasi berkenaan.
Fatimah bertanyakan sesuatu dengan suspek wanita ditangkap dalam operasi berkenaan.

KUCHING: Seramai 109 individu diberkas dengan majoriti daripadanya disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah menerusi satu operasi khas dilakukan polis kontinjen Sarawak di enam kampung, hari ini (25 Feb).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata mereka yang ditangkap berumur antara 20 dan 60 tahun dari kampung-kampung sekitar pusat bandar raya ini.

"Daripada jumlah tersebut (109), didapati 56  termasuk suspek wanita positif dadah, tujuh suspek ditangkap memiliki dadah, tujuh ditangkap kes curi motosikal dan selebihnya kes pecah rumah serta judi dalam talian.

"Operasi dijalankan adalah bertujuan membanteras penyalahgunaan dadah, mengurangkan kadar jenayah serta mendidik masyarakat untuk mematuhi undang-undang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak ACP Jasmirol Jamaludin dan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sarawak ACP V. Raja R. Vadivelu.

Fatimah berkata lagi, operasi membanteras penyalahgunaan dadah kerap dilakukan agar permasalahan ini dapat ditangani secara konsisten.

Beliau berkata, kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan polis dan agensi-agensi kerajaan lain dalam usaha memutuskan bekalan dan berusaha membantu memulihkan penagih dadah.

Sementara itu, Jasmirol memberitahu pihaknya sedang berusaha untuk mengenal pasti tokan dadah di negeri ini.

"Kita akan mengambil kenyataan daripada semua yang ditahan untuk mengenal pasti pengedar atau tokan membekalkan dadah kepada mereka," katanya.

Operasi ini disertai 24 pegawai dan 113 anggota polis bermula pukul 10:00 pagi.

  • oleh
  • Advertisement