Anda di sini

Wanita warga emas maut, kereta terhumban ke sungai

Advertisement
Mayat mangsa diusung ke kenderaan polis.
Mayat mangsa diusung ke kenderaan polis.

KUCHING: Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak membuat penyelaman sedalam 15 meter untuk mengeluarkan mayat seorang wanita warga emas yang terperangkap di dalam keretanya yang terhumban ke dalam sungai berhampiran Jambatan Satok hari ini.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 1 Kuching, Yusri Basri berkata empat penyelam hadir di lokasi kejadian dalam usaha untuk mengeluarkan mangsa iaitu seorang wanita berusia 70 tahun.

"Pasukan penyelamat berjaya menjumpai kenderaan mangsa kira-kira tujuh meter dari jeti dan berada sedalam 15 meter di dalam sungai berkenaan.

"Usaha mengeluarkan mangsa berjaya pada jam 12.56 tengah hari selepas anggota penyelam kita berjaya membuka pintu kereta mangsa," katanya semasa ditemui pemberita.

YUSRI
YUSRI

Tambahnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan juga, identiti mangsa disahkan oleh ahli keluarganya yang hadir di lokasi kejadian.

Menurutnya, selepas laporan berhubung kejadian diterima sekitar jam 10.30 pagi, beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dan Batu Lintang hadir di lokasi kejadian.

"Bagaimanapun, sampai di lokasi mendapati kereta tersebut telah tenggelam dan terpaksa mendapatkan bantuan PPDA," katanya.

Yusri selain itu memberitahu pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung punca kejadian.

Selain itu, beliau turut memohon pihak yang bertanggungjawab untuk membuat penghadang berpagar di jeti tersebut untuk menghalang kenderaan memasukinya.

"Kalau dilihat dari faktor keselamatan, seharusnya ada penghadang berpagar di sini," katanya.

Sementara itu, difahamkan insiden tersebut pada mulanya disedari oleh beberapa orang pekerja di lokasi berdekatan yang kemudian juga cuba membantu mangsa.

"Kami menghampiri kereta tersebut, tetap kereta tenggelam sangat pantas dan hanya sempat mengikat tali padanya (kereta) untuk mengelakkan ia hanyut," kata seorang daripada mereka.

  • oleh
  • Advertisement