Anda di sini

Serie A Itali: Juve belasah Crotone 3-0

Advertisement
 Pemain tengah Crotone Adam Ounas (kiri) dan pemain Juventus Dejan Kulusevski bersaing mendapatkan bola pada perlawanan Serie A Itali di antara Juventus menentang Crotone di stadium Juventus di Turin, kelmarin. — Gambar AFP
SENGIT: Pemain tengah Crotone Adam Ounas (kiri) dan pemain Juventus Dejan Kulusevski bersaing mendapatkan bola pada perlawanan Serie A Itali di antara Juventus menentang Crotone di stadium Juventus di Turin, kelmarin. — Gambar AFP

TURIN: Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol ketika Juventus membelasah kelab tercorot, Crotone 3-0 dalam aksi Serie A Itali pada Isnin, dengan kemenangan melonjak juara bertahan liga itu ke tangga ketiga liga.

Juventus bermula dengan agak hambar tetapi penyerang sensasi mereka menyempurna hantaran Alex Sandro pada minit ke-38 untuk meletakkan Juventus di hadapan.

Ronaldo kelihatan semakin bersemangat dan satu lagi tandukan kencang pada minit akhir sebelum rehat meletakkan Juventus 2-0 pada masa rehat, dengan Ronaldo kembali di senarai teratas penjaring terbanyak liga dengan 18 gol, satu gol di hadapan penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku.

Penyerang berusia 38 tahun dari Portugal itu mempunyai peluang menjaringkan hatrik tetapi Weston McKennie sebaliknya menjaringkan gol ketiga untuk gol keempat beliau musim ini dalam liga pada minit ke-66.

Kemenangan pertama dari empat perlawanan dalam semua pertandingan membolehkan Juventus naik dari tangga  keenam ke tangga ketiga dan mengumpul 45  mata, lapan mata di belakang pendahulu liga, Inter dan kurang satu perlawanan.

“Keinginan untuk kembali ke kemuncak liga menyebabkan saya berasa selesa,” kata jurulatih Juventus, Andrea Pirlo. “Sikap pemain juga menggembirakan saya.

“Apabila kami mempunyai lebih ramai pemain pulih dari kecederaan, saya akan mempunyai lebih banyak pilihan dan ini juga menyebabkan saya berasa selesa. Kami tahu Inter adalah pasukan yang hebat dan kami tahu kami harus bersaing untuk memenangi kejuaraan ini.”

Kekalahan menyebabkan Crotone  kekal di tangga terbawah liga dengan hanya 12 mata dari 23 perlawanan, lapan mata dari zon selamat.

Aaron Ramsey memikirkan beliau berjaya membuka jaringan lebih awal buat Juventus tetapi bola rembatannya terkena palang sebelum Ronaldo menjaringkan dua gol dari dua tandukan cantik.

Gol Ronaldo bermakna Crotone adalah pasukan ke-78 yang beliau jaringkan gol dalam lima liga utama di Eropah – dengan hanya Zlatan Ibrahimovic menjaringkan gol ke atas lebih banyak kelab sejak 2000. — AFP

Advertisement