Anda di sini

Sabah FC harap khidmat penuh import

Advertisement
KURNIAWAN
KURNIAWAN

- Aksi pertama lawan Melaka United di Stadium Hang Jebat, Melaka 6 Mac

KOTA KINABALU: Sabah FC berharap empat awang import yang sudah dilamarnya dapat sertai pasukan sebelum perlawanan pertama Liga Super musim ini.

Sabah FC dijadualkan akan memulakan cabaran Liga Super menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 6 Mac.

Empat pemain import yang dinantikan Sabah FC ialah pemain sayap kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani; pemain tengah kebangsaan Gabon, Levy Madinda; pemain tengah dari Macedonia, Ristro Mitrevski dan penyerang dari Liberia, Sam Garyahzon Johnson.  

Ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, kehadiran empat pemain import sangat diperlukan bagi memperkuatkan pasukan yang kini hanya ada pertahanan import dari Korea Selatan, Park Tae Su yang dikekalkan dari skuad musim lalu.

"Untuk empat import yang belum datang, terus terang...kami memang sangat membutuhkan kehadiran mereka sebelum perlawanan pertama kerana tenaga mereka sangat kami butuhkan. 
"Mohon doa saja agar mereka bisa cepat sampai di Sabah dan bergabung dengan pasukan sebelum perlawanan pertama," kata Kurniawan.

Krisis pandemik COVID-19 adalah antara kekangan bukan sahaja untuk pemain luar negara datang ke negara ini tetapi juga untuk keluar dari negara mereka.

Sehubungan dengan itu, Kurniawan juga akan bersedia dengan `pelan B' bersandarkan pemain yang ada dan telah diuji dalam dua perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur iaitu menentang Sarawak United pada 21 Februari dan KL United, malam semalam (23 Februari).

Perlawanan pemanas badan pramusim itu menyaksikan Sabah FC seri 1-1 dengan Sarawak United di Stadium PKNS dan kecundang 1-4 di tangan KL United di Stadium Cheras.

Kurniawan berkata, keputusan dalam dua perlawanan itu tidak menyenangkan tetapi secara keseluruhannya, beliau berpuas hati dengan kerja keras dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan pemain terutama pada perlawanan kedua.

Katanya, bukan mudah bermain dua perlawanan dalam tempoh tiga hari. Oleh itu, keputusan bukan isu utama sebaliknya dua perlawanan itu dijadikan medan bagi melihat kekuatan dan kelemahan pasukan.

Beliau  berkata, sekurang-kurangnya dua perlawanan itu memberi gambaran `match fitness' dan keserasian pemain terutama dalam memahami strategi permainan yang diterapkannya.

Menurutnya, strategi pada perlawanan pertama dilaksanakan dengan baik manakala pada perlawanan kedua, hanya berjalan beberapa minit terutama pada 15 minit terakhir separuh masa pertama dan 10-15 minit awal babak kedua.

"Persembahan pada perlawanan kedua ada kaitan dengan `match fitness' mereka...di saat tempoh pemulihan mereka kurang, tentunya akan berpengaruh terhadap konsentrasi dan  cara berfikir mereka menjalankan `game plan'.

"Ada beberapa catatan dari dua perlawanan ini untuk kami perbaiki dan pertingkatkan termasuk untuk meminimakan dari melakukan kesilapan sendiri seperti gol-gol yang telah membolosi gawang kita ketika menentang KL United," kata Kurniawan.

Kedua-dua gol Sabah FC dalam dua perlawanan itu dijaringkan Bobby Gonzales.

  • oleh
  • Advertisement