Anda di sini

Program imunisasi COVID-19 memulakan langkah penamatan penularan dalam negara

Advertisement
Muhyiddin memegang playkad 'Saya Telah Divaksin' selepas mengambil suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah Presint 11 hari ini. - Gambar Bernama
Muhyiddin memegang playkad 'Saya Telah Divaksin' selepas mengambil suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah Presint 11 hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Selesainya proses suntikan vaksin COVID-19 ke atas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini menjadi simbolik bermulanya usaha kerajaan menamatkan penularan pandemik itu di negara ini. 

Suntikan yang diterima pemimpin utama negara itu bermakna Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilancarkan secara rasmi dengan sasaran memberikan imunisasi percuma kepada kira-kira 80 peratus penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Program vaksinasi itu bertujuan menyediakan perlindungan dalaman selain perlindungan luaran menerusi pematuhan terhadap tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Terdahulu, perdana menteri menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya, Presint 11 di sini pada kira-kira 2.45 petang tadi.

Turut menerima suntikan pertama hari ini ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM), iaitu Dr Tan Yee Ling, Sheilla Mellissa Sikin, Khairul Asraf Mohd Yasin dan Clement Marai Francis.

Kesediaan perdana menteri dan ketua pengarah kesihatan menjadi individu terawal menerima suntikan tersebut membuktikan bahawa vaksin itu selamat, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat untuk turut menerimanya,

Muhyiddin yang berkongsi pengalamannya menerima suntikan itu menyifatkan proses tersebut seperti suntikan biasa dan rakyat tidak perlu bimbang untuk menuruti langkah beliau menjadi penerima vaksin berkenaan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pula, usaha memberikan vaksin COVID-19 itu adalah antara ikhtiar yang bertepatan dengan maqasid syariah.

Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam membuat ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil bagi golongan yang ditetapkan kerajaan.

"Semoga Allah SWT melindungi Malaysia dengan asbab ikhtiar ini dan doa kita," kata Zulkifli dalam satu hantaran menerusi Twitter beliau hari ini.

Proses vaksinasi di seluruh negara akan diteruskan menerusi 605 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang menerima agihan vaksin daripada  54 Pusat Simpanan Vaksin (PSV), dengan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia mula menerima bekalan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech hari ini.

Antaranya ialah Negeri Sembilan, Kedah, Melaka, Kelantan, Perak, Pahang dan Perlis. 

Fasa pertama pemberian vaksin itu yang berlangsung hingga April ini melibatkan anggota barisan hadapan, manakala   fasa kedua dari April hingga Ogos dikhususkan untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, di samping Orang Kurang Upaya, sementara fasa ketiga bermula Mei hingga Februari 2022 - untuk kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas.

Malaysia telah mengadakan perjanjian untuk memperoleh sebanyak 66.7 juta dos vaksin COVID-19 iaitu melalui fasiliti COVAX dan lima pengeluar vaksin iaitu Pfizer BioNTech, Astra Zeneca, Sinovac, CanSino dan Gamaleya.

Kumpulan pertama sebanyak 312,390 dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech tiba di Malaysia pada Ahad lalu.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata setakat hari ini seramai 465,081 orang telah berdaftar dengan MySejahtera untuk menerima vaksin COVID-19. - Bernama 

Advertisement