Anda di sini

Petronas umum gas dalam penerokaan telaga di Baram

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengumumkan penemuan gas daripada penerokaan telaga “wildcat” Dokong-1 di Blok SK417 Kontrak Pengeluaran Bersama (PSC) yang terletak di perairan cetek Wilayah Baram, kira-kira 90 kilometer di luar pantai Sarawak.

Anak syarikat Petronas, Petronas Carigali Sdn Bhd mempunyai kepentingan penyertaan sebanyak 20 peratus dalam Blok SK417 PSC manakala pengendalinya, PTT Exploration and Production Public Company Ltd (PTTEP) menerusi anak syarikat milik penuhnya PTTEP HK Offshore Ltd, mempunyai kepentingan penyertaan sebanyak 80 peratus.

PSC berkenaan ditandatangani pada Mac 2018 berikutan Pusingan Bidaan Malaysia 2017.

“Penerokaan telaga Dokong-1 merupakan satu daripada beberapa kejayaan Malaysia baru-baru ini dalam aktiviti penerokaan. 

“Penjanaan keuntungan daripada penemuan gas di Wilayah Baram dapat disokong melalui infrastruktur sedia ada dan akan menyumbang kepada aspirasi Petronas dalam menyampaikan bekalan tenaga yang boleh dipercayai, stabil dan bersih kepada pasaran global dan domestik,” kata Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Petronas Mohamed Firouz Asnan.

Beliau berkata penemuan Dokong-1 memberikan semangat baharu kepada keseluruhan landskap penerokaan di Wilayah Baram dan memperkukuhkan peranan rangkaian bekalan gas Baram sebagai sebahagian daripada sistem gas Sarawak yang lebih luas.

“Petronas, bersama-sama pihak PSC ketika ini sedang melaksanakan penilaian selanjutnya untuk menentukan had sepenuhnya penemuan itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, penerokaan telaga “wildcat” Dokong-1 berjaya digerudi sehingga jumlah kedalaman 3,810 meter pada pertengahan Januari 2021.

“Penemuan ruang gas berukuran melebihi 80 meter di takungan Middle to Late Miocene Kitaran VI-VII mengesahkan lagi potensi prospek yang berbaki di Wilayah Baram.

“Penemuan gas bebas pencemaran di Dokong-1 turut membuktikan kewujudan lebih banyak peluang gas di kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, Petronas akan menawarkan empat blok perairan cetek di Sarawak sebagai sebahagian daripada Pusingan Bidaan Malaysia 2021 yang akan bermula pada 26 Februari 2021.

Maklumat lanjut mengenai peluang pelaburan di Malaysia boleh didapati di https://www.Petronas.com/mpm/. - Bernama 

Advertisement