Anda di sini

Pekan lama Tandek bakal berwajah baharu

Advertisement
 Hajiji diberi taklimat oleh Masiung (tiga kanan) dan Rosemery (dua kanan) semasa melawat tapak pekan baharu Tandek.
TAKLIMAT: Hajiji diberi taklimat oleh Masiung (tiga kanan) dan Rosemery (dua kanan) semasa melawat tapak pekan baharu Tandek.

KOTA MARUDU: Satu lagi pekan baharu akan dibangunkan di Tandek sebagai mercu tanda yang bakal membawa struktur pekan lama berusia lebih 50 tahun itu berubah wajah.

Cadangan itu bakal menjadikan pekan kecil Tandek dimajukan sebagai pusat transit berkonsepkan komersial sesuai dengan lokasinya yang menjadi laluan utama antara Kota Marudu dan Pitas.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Datuk Masiung Banah berkata, seluas 15.5 ekar telah diwartakan untuk pembangunan projek pekan baharu itu yang akan dilaksanakan bermula pertengahan tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersetuju mengenai cadangan LPPB itu selepas mengadakan lawatan di tapak pembinaan itu bersebelahan tapak tamu mingguan Tandek, di sini.

Minggu lalu, LPPB mengumumkan pembangunan pekan baharu Tungku yang menelan belanja RM194 juta menempatkan 95 unit rumah kedai termasuk sederet pusat beli belah dan 624 unit rumah mampu milik.

Masiung berkata, pelan cadangan projek pekan baharu Tandek sudahpun tersedia dan sedang dalam proses menyedakan draf perjanjian usaha sama dengan pemaju tempatan.

Katanya, selain pembangunan pekan baharu Tandek, LPPB juga turut membina 103 unit rumah kos sederhana di Kampung Ongkilan terletak 4 kilometer dari pekan Tandek.

Menurutnya, kedua-dua projek itu bernilai RM92 juta di mana sebahagian besar RM64 juta digunakan untuk membangunkan pekan baharu dan selebihnya RM28 juta untuk membina perumahan dua tingkat kos sederhana di Kampung Ongkilan.

Masiung berkata, pembinaan bangunan komersial 95 unit di pekan Tandek itu akan mengandungi rumah kedai dua tingkat termasuk sederet kedai tiga tingkat.

Beliau menambah, pembinaan tambahan rumah kos sederhana di Kampung Ongkilan merupakan fasa kedua yang merangkumi seluas 5 ekar tanah simpanan LPPB.

Semasa lawatan itu, Ketua Menteri diberi taklimat ringkas oleh Masiung dan Pengurus Besar LPPB Rosemery Ahping mengenai status cadangan pekan baharu Tandek.

Advertisement