ACEP Syahril sanggup datang ke Cirebon untuk mengajak saya makan empal gentong di Warung Mang Dul. Sup Empal Gentong adalah makanan khas Cirebon dari usus sapi yang direbus.
Acep Syahril, sebenarnya seorang penyair, sahabat yang saya selalu panggil kang acep, meskipun saya tahu dia bukan orang Sunda tetapi berasal dari Jambi.
Beliau bukan penyair sembarangan. Banyak menghasilkan puisi sejak puluhan tahun lalu dan selalu tampil membacanya di pelbagai tempat.
"Saya sudah membaca puisi di hampir semua tempat kecuali di dalam pesawat atau kuburan," katanya.
Berbicara dengan kang Acep memperkaya pengetahuan kita mengenai dunia sastera terutamanya di Indonesia.
Beliau datang bersama seorang penulis Joko Indrabath, seorang yang gemar mencipta kata-kata pujangga, tentu dengan pilihan kosa kata yang indah.
Mereka datang dari Indramayu yang jaraknya kira-kira satu jam perjalanan dari Cirebon. Selepas menjemput saya di Hotel Aston, tempat berlangsungnya Asita West Java Travel Mart, kami langsung saja ke pusat kota, untuk menikmati sup Empal Gentong.
Empal gentong adalah santapan khas yang perlu dicuba kalau berkunjung ke Cirebon. Empal Gentong adalah olahan daging sapi yang dimasak menggunakan periuk besar yang biasanya diperbuat dari tanah liat. Harganya pun berpatutan iaitu sekita Rp25,000 semangkuk.
Terdapat beberapa pilihan jika ingn memilih empal gentong, ada empal gentong Hj Dian,Empal Gentong Bu Darma, Empal Gentong Krucuk, Empal Gentong H Apud, Empal Gentong Amarta dan sebagainya. Hari itu kami sempat ke warung Empal Genting Mang Dul.
Cirebon terkenal dengan pelbagai makanan khas antaranya tahu gejrot iaitu tahu goreng dengan kuah, sega lengko, nasi sayuran dengan tauhu dan taugeh, tempe mendoan, tempe dilapisi adunan yang digoreng, kerupuk mlarat atau keripik yang terbuat dari tepung ubikayu dan digoreng dengan pasir panas (bukan minyak), sega jamblang , iaitu hidangan-hidangan untuk menemani nasi yang disajikan di daun jati.
Sebenarnya misi kami hari itu dengan Kang Acep dan Pak Joko hanyalah sekadar bertemu. Apa yang penting persahabatan yang sudah lama terjalin tetap terjaga.
Lagi pula, tentu tidak elok kalau ke Jawa Barat tanpa menghubungi rakan-rakan di Jawa Barat. Tak manis rasanya, kita masuk rumah orang tanpa mengetuk pintunya. Apa lagi Kang Acep ini selalu sedia menemani kalau kami ke Indonesia.
Selepas mengisi perut, kami mengopi lagi di Grage, sebuah mall besar di Jalan Tentera Pelajar di Cirebon. Kota Cirebon yang berusia kira-kira 633 tahun juga terkenal sebagai kota pesisir utara pulau Jawa yang dijuluki sebagai Kota Udang dan Kota Wali.
Kota Cirebon mempunyai 316,277 orang dan terletak di jalur pantura menghubungkan Jakarta-Cirebon-Semarang-Surabaya. Ia terletak kira-kira 130 km dari Kota Bandung dan 258 km dari arah Kota Jakarta.
Kota Cirebon seluas 37.36 km persegi terletak pada lokasi strategik yang menjadi simpul transportasi antara Jawa Barat dan Jawa Tengah.
Jika anda berkunjung ke kota Cirebon, tentu banyak sekali yang boleh dikunjungi. Cirebon terkenal sebagai sebuah kota bersejarah sejak zaman kegemilangan Islam di Pulau Jawa.
Di sini kita boleh berkunjung ke Masjid Agung Cipta Rasa, Masjid At Taqwa, kita dan boleh juga berziarah ke kompleks makam Sunan Gunung Djati dan boleh melihat tokong kuno dan bangunan-bangunan peninggalan zaman Belanda.
Selain itu, salah satu yang menarik ialah pelbagai jenis kraftangan serta batik Cirebon yang sudah terkenal sejak sekian lama. Ciri khasnya iailah motif mega mendung iaitu motif berbentuk seperti awan bergumpal-gumpal yang biasanya membentuk bingkai pada gambar utama.
Di Cirebon juga terdapat keraton kasepuhan dan keraton Kanoman. Tempat ini adalah salah satu tempat yang perlu dikunjungi. Ia memiliki rekaan senibina gabungan Kebudayaan Islam, Cina dan Belanda.
Ciri khasnya antara menghadap ke utara dan memiliki sebuah masjid. Setiap keraton mempunyai alun-alun atau tempat berkumpul, pasar dan sebagainya.
Tome Pires dalam Suma Orientalnya menyebut Cirebon sebagai pusat perdagangan di Pulau Jawa sekitar tahun 1513 lagi. Kegiatan ekonominya pesat membangun kerana letak geoagrafinya yang strategik. Ketika zaman Hindia Belanda, pelabuhan Cirebon adalah pusat transit barang eksport import dan pusat kendali politik di pedalaman Jawa.
Cirebon juga memiliki 12 pasar tradisional, 13 bangunan plaza dan mall dan memiliki 12 kompleks ruko.
Banyak sekali yang menarik di Kota Cirebon. Tapi salah satu tempat utama yang perlu dikunjungi ialah Toko Buku Gramedia. Saya mengajak kang Acep dan Pak Joko untuk menemankan saya mencari buku-buku, sebagai tanda kenangan pernah sampai ke kota pesisir Jawa ini.
Cuma mungkin yang kurang banyak di sini ialah spiderman, saya teringat kata-kata bang Hisham, anggota rombongan kami. Mengapa begitu? Sebab di sini tidak banyak bangunan tinggi yang membolehkan mereka bergayut atau melompat dari satu bangunan ke bangunan yang lain.
Kota Cirebon tidak perlu menjadi seperti itu.