Anda di sini

Hodgson pertahan rentak permainan Palace tewaskan Brighton 2-1

Advertisement
 Joel Veltman berjaya menjaringkan gol membolosi penjaga gol Crystal Palace Vicente Guaita pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Brighton and Hove Albion dan Crystal Palace di Stadium American Express Community di Brighton, England, kelmarin. — Gambar AFP
BOLOS: Joel Veltman berjaya menjaringkan gol membolosi penjaga gol Crystal Palace Vicente Guaita pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Brighton and Hove Albion dan Crystal Palace di Stadium American Express Community di Brighton, England, kelmarin. — Gambar AFP

BRIGHTON: Pengurus Crystal Palace, Roy Hodgson, mempertahankan gaya permainan pasukannya selepas meraih kemenangan 2-1 di Brighton pada Isnin dengan Christian Benteke menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-95.

Palace hanya mempunyai dua cubaan dalam kotak penalti Brighton tetapi menjaringkan kedua-dua cubaan itu sementara Brighton mempunyai 25 cubaan dan menguasai hampir 75 peratus permainan namun hanya menghasilkan satu gol.

“Kita begitu tertarik dengan statistik dewasa ini. Permainan ditentukan oleh gol. Gol adalah satu persoalan tentang bagaimana anda menyempurnakan peluang dan mempertahankan pintu  gol anda,” kata Hodgson.

“Sehingga ada hadiah untuk tendangan sudut dan sentuhan dalam kotak penalti, ia adalah sangat penting untuk memahami bahawa keputusan perlawanan hanya ditentukan oleh gol yang anda jaringkan dan gol yang tidak bolos. Saya tidak berasa gembira apabila tewas dan kami mempunyai lebih banyak tendangan sudut atau sentuhan dalam kotak penalti.”

Brighton masih bersaing mengelak penyingkiran selepas satu malam yang menyimpulkan segala-galanya tentang musim skuad kendalian Graham Potter.

“Keadaan liga, bagaimana kesukarannya walaupun kami melakukan begitu banyak tetapi ia tetap tidak memadai,” kata Potter.

“Pemain melakukan segala-galanya untuk menjaringkan gol, ia  seperti kami sentiasa dalam kotak penalti tetapi tidak tahu apa yang mahu dilakukan.”

Palace beraksi tanpa penyerang bintang, Wilfried Zaha kerana kecederaan tetapi Jean-Philippe Mateta memberi impak besar pada penampilan keduanya sejak tiba untuk kontrak pinjaman dari Mainz.

Hantaran lintang Jordan Ayew dari kanan padang membolehkan Mateta menolak bola ke pintu gol untuk gol pertama beliau bersama Palace pada minit ke-28.

Palace kemudian diasak bertalu-talu oleh Brighton tetapi Neal Maupay, Adam Lallana dan Leandro Trossard mensia-siakan peluang mereka.

Apabila Brighton akhirnya mengikat kedudukan 10 minit selepas rehat, ia adalah dari gol pertama Joel Veltman bersama kelabnya selepas menerima umpanan Danny Welbeck.

Palace kemudian bertahan untuk membawa pulang satu mata berharga sebelum menyentak pasukan tuan rumah dengan gol kemenangan pada minit kecederaan apabila Benteke melakukan satu rembatan volley cantik.

Kemenangan meletakkan Palace 10 mata di atas zon penyingkiran sementara Brighton kekal empat mata di hadapan Fulham,  yang berada di tangga ketiga dari bawah liga. — AFP

Advertisement