Anda di sini

Enam peniaga dikompaun tidak letak tanda harga, guna alat timbang tamat tempoh

Advertisement
 Salah seorang peniaga yang dikompaun selepas gagal meletakkan tanda harga pada tong LPG di dalam premis.
KOMPAUN: Salah seorang peniaga yang dikompaun selepas gagal meletakkan tanda harga pada tong LPG di dalam premis.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah mengenakan kompaun kepada peniaga di beberapa daerah sepanjang operasi pemeriksaan di negeri ini.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, pihaknya memberikan kompaun kepada enam peniaga yang gagal mematuhi undang-undang ditetapkan.

"Tiga daripada peniaga didapati gagal meletakkan tanda harga pada tong gas petroleum cecair (LPG) yang dipamerkan untuk jualan di sebuah premis perniagaan di Kudat.

"Seorang lagi peniaga melakukan kesalahan sama iaitu tidak mempamerkan harga pada lima tong LPG di kedai runcitnya dalam satu pemeriksaan sama di sekitar ibu negeri.

"Kesemua peniaga kemudiannya dikompaun secara langsung sebanyak RM500 setiap seorang iaitu kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011," katanya.

Menurutnya, dalam masa sama seorang lagi peniaga turut dikenakan kompaun sebanyak RM100 selepas gagal meletakkan tanda harga pada minuman yang dijual di salah sebuah premis di Kudat.

Tambahnya, seorang lagi peniaga yang turut didapati menggunakan alat timbang yang sudah tamat tempoh sah dikenakan kompaun sebanyak RM100 oleh KPDNHEP cawangan Kudat.

Beliau berkata, pihaknya mengambil tindakan tegas kerana amaran dan peringatan sudah diberikan kepada premis perniagaan serta pihak peniagasebelum ini khususnya berkaitan penandaan harga pada barangan yang dijual dan penggunaan alat timbang dan sukat untuk perdagangan.

Dalam perkembangan berasingan beliau berkata, secara keseluruhan, kesemua peniaga yang diperiksa pada hari ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

"Hasil pemeriksaan dan pemantauan mendapati bekalan keperluan asas harian masih mencukupi dan dijual mengikut harga pasaran semasa dan yang ditetapkan. 

"Barangan keperluan termasuk cili merah juga menunjukkan bekalan mencukupi hasil pemantauan khas di premis runcit serta Pasar Pemborong Sayur sekitar sini," katanya.

Tambahnya, pihaknya juga merekodkan maklumat berkaitan jenis cili merah, harga kos serta punca bekalan dan nama pembekal bagi tindakan selanjutnya. 

  • oleh
  • Advertisement