Anda di sini

Dortmund kritik Haaland, didenda ingkar peraturan COVID-19

Advertisement
HAALAND
HAALAND

MUNICH: Kelab Borussia Dortmund, mengkritik pemainnya termasuk Emre Can dan Erling Braut Haaland, yang menyertai sambutan kemenangan bersama penyokong kelab di luar pusat latihan pasukan selepas kemenangan 4-0 di Schalke 04 Sabtu lepas dan menganggap tindakan mereka ‘tidak dapat diterima’.

Kelab itu didenda 75,000 euro oleh Liga Bola Sepak Jerman (DFL) kerana melanggar peraturan COVID-19.

“Ia di luar persoalan bahawa perlawanan berjiran itu adalah satu perlawanan istimewa. Walau bagaimanapun, kelab bertanggungjawab mengawal pematuhan peraturan,” kata DFL dalam satu kenyataan dan merujuk kepada protokol kebersihan liga yang telah dipersetujui oleh semua 36 kelab di dua liga teratas di Jerman.

DFL sebelum itu menuntut satu penjelasan dari Dortmund selepas sekumpulan penyokong menyambut kehadiran bas pasukan dengan menyalakan suar di pusat latihan kelab selepas kemenangan itu.

Sekitar 200 penyokong berkumpul di luar pusat latihan Dortmund ketika pasukan kembali selepas kemenangan bergaya ke atas Schalke.

Rakaman video yang dimuat naik di laman sosial menunjukkan pemain tidak memakai pelitup muka dan tidak melaksanakan penjarakan sosial seperti yang diwajibkan dalam protokol kebersihan DFL.

Polis dan pegawai kelab tidak campur tangan ketika penyokong memberhentikan bas, dengan beberapa penyokong tidak memakai pelitup muka dan hampir kesemua mereka tidak melakukan penjarakan sosial.

Kelab berkata dalam satu kenyataan bahawa sambutan meraikan kemenangan  itu “tidak dapat diterima.”

Mereka menambah bahawa mereka hanya “dapat meminta maaf dan berjanji untuk menangani persoalan bagaimana untuk menghalang sepenuhnya insiden seperti ini di masa hadapan dengan penglibatan polis dan semua pihak dalam masa terdekat.”

Di bawah protokol kebersihan DFL, Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) boleh menghukum pihak yang melanggar protokol dalam stadium dan kelab-kelab bertanggungjawab di atas apa yang berlaku di luar stadium atau dalam situasi peribadi.

Pemain Bayern Munich, Corentin Tolisso didenda selepas mendapatkan tatu dan juga pemain kelab Borussia Monchengladbach, Breel Embolo, didenda kerana melanggar protokol pada bulan Januari.

“DFL dengan segera menghubungi Borussia Dortmund dan meminta satu  kenyataan kelab dalam masa terdekat,” kata seorang jurucakap DFL.

Dortmund dijangka akan menjadi kelab pertama yang didenda kerana melanggar protokol ini pada musim ini, menurut sumber.

Jangkaan denda tidak akan dikenakan ke atas Dortmund kerana tingkah laku penyokong mereka tetapi hanya kerana pelanggaran peraturan COVID-19 di dalam bas pasukan.

DFL berkata mereka akan mengumumkan siasatan dan kemungkinan denda untuk Dortmund pada lewat minggu ini. — AFP

Advertisement