Anda di sini

‘Takdir Yang Tertulis’ dan ‘Melastik Ke Hatimu’ catat 19 juta penonton

Advertisement
 

DRAMA yang menjadi fenomena di slot Samarinda, ‘Takdir Yang Tertulis’ telah melabuhkan tirainya dengan meraih 5 juta penonton pada episod akhir dan 9 juta penonton sepanjang 15 episod.

Begitu juga dengan ‘Melastik Ke Hatimu’ di slot Lestary juga berjaya menarik minat 5 juta penonton pada episod akhir dan meraih 10 juta penonton sepanjang 13 episod bersiaran (sumber: Nielsen 2021).

Drama terbitan Radius One Sdn Bhd dan Orange-tree Sdn Bhd ini telah mula bersiaran di TV3 pada 21 Januari lalu telah mendapat maklum balas yang memberangsangkan daripada penonton malah ramai yang mengharapkan sekuel untuk kedua-dua drama ini.

Menurut Pengarah Kumpulan Jenama, Kandungan dan Strategi Rangkaian Televisyen Media Prima  Berhad, Sherina Nordin, “Penghasilan sebuah drama yang baik sudah cukup mencabar sebenarnya, apatah lagi untuk menghasilkan sebuah drama yang digemari oleh penonton sehingga tular di media sosial untuk setiap episod.

“Pujian ini wajib saya tujukan kepada seluruh tenaga produksi dan para pelakon yang menjayakan drama-drama ini. Dari segi pengarahan yang bijak dalam pengolahan watak dan penceritaan, penulisan yang baik dalam menghasilkan plot yang menarik dan keber-kesanan para pelakon menzahirkan watak-watak yang dibawa. Dengan kejayaan dua drama ini, membuktikan bahawa industri drama tanah air tidak ketandusan idea bagi memenuhi citarasa penonton,” katanya.

Setelah dua drama ini melabuhkan tirai, dua lagi drama mengisi slot Lestary dan Samarinda.

Drama yang pernah menambat hati penonton di slot Lestary ‘Semua Salahku’ yang diterbitkan oleh A. Aida Production, kembali menemui penonton bermula pada 12 Februari lalu.

Lakonan Fasha Sandha bergandingan dengan Nafiz mengisahkan tentang Haris tinggal bersama ibunya Sofea setelah kematian ayahnya. Sofea perlu bekerja keras untuk menyara kehidupan mereka anak-beranak.

Namun keinginan Sofea untuk mengahwini suami kaya membuatkan dia menggunakan duit gajinya untuk bergaya dan mengabaikan keperluan Haris serta ibunya. Haris pula bergaul dengan rakan yang salah dan mula merompak dan ditahan oleh pihak polis.

Adakah Sofea sempat memohon keampunan daripada ibunya dan bagaimana pula dengan nasib Haris?

Manakala, ‘Samarinda: Aku Yang Kau Gelar Isteri’, arahan Shuhaimi Lua, terbitan Tanah Beris Film Production baharu saja menemui penonton pada 17 Februari lalu. Drama yang mengetengahkan perbuatan khurafat ini mempunyai unsur seram tetapi sarat dengan nilai pengajaran.

Lakonan Dato’ Adi Putra (Eizlan) dan Nadia Brian (Raihani) mengisahkan tentang kehidupan bahagia keluarga pasangan ini bersama dua orang anak mereka iaitu Rais dan Ain. Kemunculan Laila (Sharifah Sakinah) ke kampung telah membuatkan Eizlan tidak keruan kerana terkejut dengan ketrampilan Laila yang sangat berbeza berbanding dahulu.

Semasa remaja, Laila menaruh hati terhadap Eizlan tetapi kecewa apabila Eizlan berkahwin dengan Raihani. Sejak itu, Laila menyimpan perasaan dendam dan berusaha untuk menghancurkan rumahtangga mereka.

Advertisement