
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri berharap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan dapat dilaksanakan dengan teratur bagi memastikan kejayaannya di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, ketibaan kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech di Malaysia dilihat sebagai usaha yang amat penting.
Katanya dalam kenyataan semalam, Sabah amat mengalu-alukan ketibaan kumpulan pertama bekalan vaksin berkenaan iaitu selaras dengan usaha membendung penularan pandemik COVID-19.
Beliau turut dijangka akan menyambut ketibaan vaksin COVID-19 untuk negeri Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada 25 Februari ini.