Anda di sini

PSG ditewaskan Monaco, harapan pertahan kejuaraan Ligue 1 Perancis terjejas

Advertisement
 Penjaga gol PSG Keylor Navas gagal menangkis gol dari Maripan (tidak kelihatan) pada  perlawanan Ligue 1 Perancis di antara (PSG) dan  AS Monaco FC di Stadium Parc des Princes di Paris, kelmarin. — Gambar AFP
BOLOS: Penjaga gol PSG Keylor Navas gagal menangkis gol dari Maripan (tidak kelihatan) pada perlawanan Ligue 1 Perancis di antara (PSG) dan AS Monaco FC di Stadium Parc des Princes di Paris, kelmarin. — Gambar AFP

PARIS: Paris Saint Germain terkesan dengan bola sepak Liga Juara-Juara apabila tewas 0-2 kepada bekas kelab penyerangnya, Kylian Mbappe, Monaco pada Ahad, sekali gus menjejaskan harapan mempertahankan kejuaraan Ligue 1 Perancis selepas Lille merampas kembali pendahuluan liga.

Gol dalam kedua-dua babak dari Sofiane Diop dan Guillermo Maripan membolehkan Monaco meninggalkan kota Paris dengan tiga  mata penuh dan memperbaharui tempoh 11 perlawanan tanpa kalah serta merapatkan kedudukan dengan kurang dua mata di belakang PSG yang ketika ini kekal di tangga ketiga liga.

Ketika Monaco mengekalkan cabaran untuk memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan, PSG mendapati diri mereka kurang satu mata di belakang Lyon dan empat mata di belakang Lille, yang merampas pendahuluan liga pada perlawanan awal selepas menewaskan Lorient 4-1.

Ia adalah malam  yang mengecewakan buat PSG selepas mereka gagal mengekalkan rentak pada pertengahan minggu apabila membelasah Barcelona 4-1 pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara, dengan Mbappe menjaringkan hatrik.

Ketika skuad kendalian Mauricio Pochettino kelihatan hampir pasti melangkah ke peringkat suku akhir kejohanan di Eropah, ada satu peluang cerah di mana PSG akan terlepas kejuaraan liga buat kali pertama sejak Monaco muncul juara pada 2017.

Hampir lima tahun pada hari yang sama, Mbappe menjaringkan gol liga sulung beliau ketika bermain bersama Monaco pada usia 17 tahun sementara Neymar hanya menjadi penonton perlawanan ketika meneruskan program pemulihan dari kecederaan.

Monaco sudah menewaskan PSG di tempat sendiri pada bulan November lepas dan mereka membuka jaringan seawal minit keenam apabila Ruben Aguilar mengumpan bola kepada Diop untuk melakukan tandukan ke pintu gol.

PSG gagal melakukan satu cubaan tepat dalam separuh masa pertama dan mereka juga kurang inspirasi selepas rehat ketika Monaco menambah jaringan pada minit ke-51 apabila Maripan merampas bola dari Ander Herrerra dalam kotak penalti sebelum merembat ke pintu gol untuk gol kelima beliau pada tahun ini.

Mbappe menjaringkan tujuh gol dari tujuh perlawanan menentang Monaco sejak berpindah ke PSG pad 2017 tetapi beliau gagal menambah rekod itu ketika Monaco menjadi pasukan pertama menewaskan PSG sebanyak dua kali pada musim yang sama sejak Nancy melakukannya pada musim 2011/2012.

Mereka adalah pasukan ketiga menewaskan PSG di Parc des Princes dalam Ligue 1 musim ini, mengekori jejak Marseille dan Lyon.

Pada perlawanan awal, tendangan percuma cantik Jonathan Ikone membantu Lille menewaskan Lorient di tempat lawan.

Lyon sebelum ini melonjak ke  tangga teratas liga dengan kelebihan gol selepas menewaskan Brest 3-2 pada perlawanan hari Jumaat, memberikan tekanan kepada Lille yang tewas kepada Ajax dalam Liga Europa pada pertengahan minggu.

Bagaimanapun, Lille mengekalkan rentak mereka dengan kemenangan ketujuh berturut-turut untuk rekod kelab menerusi gol Jose Fonte dan Domagjo Bradaric selepas gol sendiri Andreaw Gravillon meletakkan Lille di hadapan.

Jerome Hergault mengikat kedudukan tidak lama selepas gol Gravillion tetapi Lille ternyata terlalu kuat apabila Fonte meletakkan Lille kembali di hadapan sebelum  Ikone menjaringkan gol cantik dari satu tendangan percuma.

Lorient belum tewas pada lima perlawanan terakhir mereka, dan juga ada menewaskan PSG dan Monaco untuk menghidupkan peluang mengelak penyingkiran tetapi kembali ke zon penyingkiran dengan perbezaan gol berbanding Nantes selepas kekalahan ini. — AFP

Advertisement