Anda di sini

POIS: Selangor sasar penurunan 50 peratus kes di tempat kerja

Advertisement
 Amirudin bersama Juan Aranols (dua kanan) melihat produk Nestle ketika membuat lawatan ke kilang tersebut pada Pelancaran Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) di Seksyen 15 Shah Alam, Shah Alam semalam. — Gambar Bernama
TINJAU: Amirudin bersama Juan Aranols (dua kanan) melihat produk Nestle ketika membuat lawatan ke kilang tersebut pada Pelancaran Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) di Seksyen 15 Shah Alam, Shah Alam semalam. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Selangor menyasarkan penurunan 50 peratus kadar jangkitan COVID-19 di tempat kerja khususnya di kawasan perindustrian dan perkilangan sekiranya program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) dilaksanakan di seluruh negeri itu.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, pelaksanaan program tersebut dianggap perlu kerana 80 peratus kes di Selangor adalah berpunca dari tempat kerja.

“Sekarang pusat epik jangkitan di Selangor adalah dari kawasan perindustrian iaitu kira-kira 70 hingga 80 peratus. Jadi, kalau kilang terutamanya dapat ikut sistem ini, saya yakin kes di tempat kerja boleh dikurangkan.

“Perkara ini boleh dilihat melalui POIS yang dijalankan di kilang Nestle Malaysia Bhd yang kadar jangkitan di sini kurang daripada satu peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan program POIS di Kilang Perusahaan Nestle Malaysia Bhd dekat sini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Juan Aranols.

Amirudin berkata program POIS itu memerlukan majikan dan tempat kerja menjalankan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam mengelakkan penularan COVID-19 antaranya melakukan rutin tapisan pekerja di kesemua pintu masuk, menyemak sejarah perjalanan pekerja di samping pelaksanaan ujian saringan secara berkala.

Amirudin berkata buat masa ini, kerajaan negeri belum mewajibkan semua majikan mendaftar sistem tersebut namun akan meneliti kesesuaian pada masa hadapan.

“Ia melibatkan banyak perkara seperti pelesenan dan kebenaran beroperasi. Jadi, buat masa ini, ia lebih kepada proses sukarela dan mungkin kita akan cuba selaras dengan yang ada,” katanya.

Pada 6 Januari, Pasukan Petugas Khas Selangor untuk COVID-19 (STFC)  melancarkan program POIS bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Majikan mendaftar perlu menubuhkan jawatankuasa terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza yang berperanan mengenal pasti kawasan dan aktiviti berisiko tinggi.

Jawatankuasa terbabit perlu merangka pelan tindakan kecemasan, mengurangkan kontak luar dan memastikan semua tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

Inisiatif pelaksanaan POIS itu melibatkan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Selgate Corporation Sdn Bhd, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM). — Bernama

Advertisement