Anda di sini

Pelaksanaan 5G pacu permintaan terhadap rangkaian gentian optik

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan rangkaian teknologi selular generasi kelima (5G) dijangka memacu permintaan bagi rangkaian gentian optik, sekali gus memberi manfaat kepada aspek ketersambungan negara dan penyedia prasarana digital, Telekom Malaysia Bhd (TM) serta penggiat talian tetap, demikian menurut firma penyelidikan.

Ini susulan pengumuman kerajaan membabitkan 5G di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia bersempena pelancaran agenda MyDIGITAL pada minggu lepas.

Sejajar usaha itu, kerajaan turut mewujudkan Syarikat Tujuan Khas Milik Kerajaan Malaysia (GOMSPV) bagi menerajui serta memantau pelaksanaan pembangunan infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun dengan pelaburan sebanyak RM15 bilion.

CGS-CIMB Securities Sdn Bhd (CGS-CIMB) dalam nota penyelidikannya pada Selasa, optimis bahawa sebahagian besar daripada inisiatif MyDIGITAL akan memberi kesan neutral terhadap pengendali mudah alih manakala TM akan meraih mendapat manfaat susulan langkah pajakan gentian optiknya kepada GOMSPV bagi tujuan pelaksanaan 5G.

“Kami turut mengunjurkan permintaan lebih kukuh terhadap pusat-pusat data TM apabila kerajaan memindahkan 80 peratus data awam ke dalam pengkomputeran awan hibrid menjelang akhir 2022,” katanya.

CGC-CIMB yang mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor itu berkata ketidaktentuan utama adalah dari segi kecekapan kos bagi pelaksanaan rangkaian 5G tersebut.

“Sebahagian daripadanya bergantung kepada sejauh mana bayaran GOMSPV untuk memajak infrastruktur sedia ada serta daripada siapa.

“Ini kerana pelaksanaan yang membabitkan kos tinggi akan menjurus kepada peningkatan fi akses serta mengurangkan manfaat penjimatan kos bagi syarikat-syarikat telekomunikasi yang pada masa sama perlu berdepan harga runcit lebih rendah berikutan kekurangan perbezaan rangkaian,” katanya.

Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) yang turut berkongsi saranan sama ‘neutral’ terhadap sektor tersebut, pula berpendapat bahawa risiko utama adalah mengenai kemampuan GOMSPV melaksanakan 5G berkenaan.

“Sumber pembiayaan GOMSPV itu pada masa ini masih kurang jelas dengan pengendalinya menolak penggunaan dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat, cukai baharu dan suntikan langsung kerajaan.

“Pada pandangan kami, usaha pengumpulan dana menerusi pasaran saham akan memerlukan GOMSPV menjadi lebih berorientasikan keuntungan yang akan terarah kepada peningkatan fi akses. Ini bertentangan dengan objektif keterangkuman data dan pembinaan negara yang menjadi model pelaksanaan usaha ini.”

Bagaimanapun, Maybank IB berkata secara keseluruhannya, model borong GOMSPV yang mana syarikat-syarikat telekomunikasi mendapat akses rangkaian dengan termanya sedang dirangka, akan ‘melepaskan’ syarikat terbabit daripada perbelanjaan modal 5G dan mengurangkan tekanan pulangan dalam jangka terdekat. - Bernama 

Advertisement