Anda di sini

Lelaki sebabkan kematian nenek dihantar ke Hospital Sentosa

Advertisement
Tertuduh (kiri) semasa berada di Kompleks Mahkamah Kuching.
Tertuduh (kiri) semasa berada di Kompleks Mahkamah Kuching.

KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengarahkan seorang penganggur lelaki yang dituduh menyebabkan kematian neneknya dalam kejadian di Kampung Rampangi pada September 2020, di hantar ke Hospital Sentosa untuk pemantauan mental. 

Perintah itu dikeluarkan Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad terhadap Azizan Zainal, 28, selepas membenarkan permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Ruthra Raj.

“Tertuduh dihantar ke Hospital Sentosa Kuching untuk pemerhatian di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

“Sebutan lanjut kes ditetapkan pada 23 Mac depan,” ujar Dayang semasa prosiding. 

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian Dara Mohamad, 66, di sebuah rumah di Kampung Rampangi antara jam 7.30 malam pada 20 September hingga 6.30 pagi, 21 September 2020. 

Menurut laporan terdahulu, mangsa ditemui dengan kesan luka di muka serta dagu dan difahamkan, tertuduh bertindak demikian disebabkan wujud perselisihan faham antara mangsa dengan tertuduh berkaitan wang. 

Tertuduh juga dikatakan menyerang mangsa menggunakan senjata tajam dipercayai pisau sebelum melarikan diri. 

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu pada 14 Januari, Hakim Steve Ritikos tidak menerima pengakuan tertuduh selepas dia menafi mencederakan badan mangsa. 

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan kes disebut semula pada hari ini untuk pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ruthra Raj manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

  • oleh
  • Advertisement