Anda di sini

Kematian COVID-19 cecah 500,000 di AS

Advertisement
 Tugu Peringatan Washington kelihatan bersebelahan dengan tanda jalan di Washington, DC kelmarin. AS kelmarin di ambang mercu tanda mengerikan 500,000 kematian berkaitan COVID-19 sejak permulaan pandemik. — Gambar AFP
NGERI: Tugu Peringatan Washington kelihatan bersebelahan dengan tanda jalan di Washington, DC kelmarin. AS kelmarin di ambang mercu tanda mengerikan 500,000 kematian berkaitan COVID-19 sejak permulaan pandemik. — Gambar AFP

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) kelmarin di ambang mercu tanda mengerikan 500,000 kematian berkaitan COVID-19 sejak permulaan pandemik, ketika pakar virus di negara itu memberi amaran satu bentuk keadaan normal mungkin tidak akan berlaku sehingga akhir tahun.

Petanda harapan muncul dengan pengedaran vaksin dan penurunan jangkitan mendadak pada musim sejuk tetapi angka kematian yang tinggi terus menyelubungi sebuah negara yang melaporkan kematian dan kes yang tertinggi di dunia.

“Ia teruk. Ia satu sejarah. Kita tidak pernah melihat sesuatu yang hampir kepada angka ini sejak beratus tahun, sejak pandemik influenza 1918,” kata Anthony Fauci, ketua penasihat perubatan kepada Presiden AS, Joe Biden dalam rancangan NBC ‘Meet The Press’.

“Ia sesuatu yang mengejutkan apabila anda melihat angka, hampir sukar untuk dipercayai tetapi ia benar,” tambah beliau ketika angka dari laman sesawang Johns Hopkins menunjukkan 498,000.

Selepas kematian COVID-19 pertama diumumkan di AS pada Februari 2020, ia mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk melepasi angka 100,000, semasa gelombang  pertama yang paling teruk melanda New York.

Tetapi ketika penularan berlaku ke seluruh negara, kadar kematian meningkat dengan mendadak, naik dari 400,000 dalam masa hanya sebulan ekoran peningkatan kes selepas perhimpunan orang ramai semasa musim perayaan.

Fauci menjelaskan bahawa jumlah jangkitan baharu harian melihat penurunan mendadak selepas memuncak pada bulan Januari tetapi menambah kehidupan normal masih jauh daripada dipraktikan semula.

“Saya fikir kita akan mempunyai satu tahap kenormalan... ketika memasuki musim luruh dan sejuk dan menjelang akhir tahun,” kata Fauci dalam program TV CNN ‘State of Union’.

Biden pada minggu lepas berkata rancangan untuk mengedar vaksin kepada rakyat adalah semakin sukar dengan cabaran menghasilkan sejumlah kuantiti yang sangat banyak dalam masa yang cepat.

“Tidak pernah ada cabaran logistik seperti yang cuba kami lakukan walaupun ia akan dilakukan,” kata beliau.

Menurut Biden, sasaran beliau untuk melakukan satu juta suntikan sehari untuk sejumlah 100 juta pada 100 hari pertama beliau menjadi presiden, berada dalam landasan untuk dicapai lebih awal, dengan purata semasa 1.7 juta suntikan sehari.

Dengan angka kematian akan melepasi paras 500,000 dalam masa terdekat, Biden berkata beliau tidak mahu memberikan jangkaan bila krisis itu akan ditangani.

Bagaimanapun, beliau berkata bahawa 600 juta dos – sudah cukup untuk menyediakan dua dos setiap penduduk kepada kebanyakan penduduk – dijangka menjelang akhir bulan Julai.

Lebih dari 61 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin di AS, dengan kira-kira 18 juta mendapat dua dos penuh.

Cuaca sejuk dan ribu salji melanda AS pada minggu lepas telah memperlahankan usaha pemvaksinan, dengan kira-kira enam juta dos tertangguh.

AS mungkin sudah melepasi tempoh terburuk pandemik tetapi kerosakannya adalah teruk dan menyakitkan.

Untuk menggambarkan mercu tanda setengah juta kematian, akhbar New York Times mengeluarkan muka hadapan dengan grafik menunjukkan setiap titik mewakili satu kematian di AS. — AFP

Advertisement