Anda di sini

Hajiji penerima terawal suntikan COVID-19 di Sabah

Advertisement
 Masidi menjawab soalan pada sidang media perkembangan semasa COVID-19 Sabah.
SIDANG MEDIA: Masidi menjawab soalan pada sidang media perkembangan semasa COVID-19 Sabah.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor antara penerima terawal suntikan vaksin COVID-19 di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, penghantaran pertama vaksin COVID-19 dijangka tiba di Sabah pada 25 Februari ini.

Menurutnya, Hajiji dijangka menerima suntikan vaksin COVID-19 selepas upacara perasmian Vaksinasi COVID-19 Peringkat Negeri Sabah yang dirancang berlangsung pada 4 Mac ini.

"Setakat ini, sebanyak 109 pusat pemberian vaksin dikenal pasti dan akan terlibat dalam pemberian vaksin di seluruh negeri.

"Jumlah pusat pemberian vaksin ini akan diteliti keperluannya dari semasa ke semasa oleh Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) peringkat daerah masing-masing," katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, dalam perancangan awal, fasa 1 Program Vaksin COVID-19 hanya merangkumi petugas-petugas kesihatan barisan hadapan dari sektor kerajaan dan swasta serta petugas-petugas perkhidmatan penting (essential), anggota pertahanan seperti Polis
Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Bagaimanapun jelasnya, kerajaan negeri akan membuat pertimbangan teliti terhadap isu pemberian suntikan dalam fasa 1 kepada guru-guru yang mempunyai komorbiditi kesihatan dan faktor-faktor risiko yang lain, selaras dengan pengumuman Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin pada 21 Februari lepas.

Selain itu katanya, murid yang akan kembali bersekolah dan ke asrama pada 1 Mac ini tidak perlu lagi menjalani ujian swab memadai dengan menjalankan penilaian risiko sahaja sebelum memasuki kawasan sekolah.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan Garis Panduan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0 bagi mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan murid.

Katanya, ia juga bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang masa berada di sekolah atau asrama.

Sementara itu, Masidi berkata, sebanyak 110 kes baharu COVID-19 dilaporkan pada 22 Februari 2021 menjadikan kumulatif kes positif sebanyak 52,174 kes di Sabah.

Beliau berkata, satu kes kematian direkodkan di Kota Kinabalu dan tiada kluster baharu dilaporkan.

"Seramai 122 pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh menjadikan kumulatif kes yang sembuh seramai 50,714 orang. Sejumlah 787 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 310 orang di hospital, 474 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan tiga orang lagi di pusat tahanan sementara (PTS) atau penjara.

"Bilangan pesakit COVID-19 dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 46 orang dan 13 orang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated)," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement