Anda di sini

Daerah Meradong berstatus merah COVID-19, sementara Betong bertukar jingga

Advertisement
 

KUCHING: Daerah Meradong hari ini telah bertukar ke status merah setelah melaporkan sejumlah 67 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas. 

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan hari ini, daerah Betong telah bertukar ke status jingga setelah merekodkan sejumlah 22 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas. 

“Daerah Kanowit telah bertukar ke status jingga setelah melaporkan 37 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Bagi daerah Kuching, Samarahan, Julau, Subis, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu kekal berstatus merah dengan sejumlah 2,036 kes jangkitan tempatan dilaporkan di lapan buah daerah ini dalam tempoh 14 hari yang lepas,” katanya.

JPBNS berkata, bagi daerah Song, Bukit Mabong, Beluru, Dalat dan Sri Aman kekal berstatus jingga dengan jumlah keseluruhan 142 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas. 

Manakala, daerah Sarikei, Lundu, Bau, Matu, Selangau, Saratok, Sebauh, Tatau, Pakan, Serian dan Belaga kekal berstatus kuning dengan jumlah keseluruhan 62 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas. 

“Manakala 13 daerah lain kekal berstatus hijau” katanya.

Antaranya, Lawas, Daro, Simunjan, Lubok Antu, Telang Usan, Asajaya, Limbang, Tanjung Manis, Tebedu, Mukah, Pusa, Kabong dan Marudi.

Jawatankuasa pada masa yang sama memberitahu, bagi aktiviti pengesanan kes aktif (ACD) yang dijalankan di kawasan Zon 7 (Tiong Hua) di Sibu dari 20 hingga 21 Februari, sebanyak 1,207 sampel diambil dan sebanyak lapan sampel didapati positif.
 

Advertisement