Anda di sini

COVID-19: Dua kematian dan 133 kes baharu direkodkan di Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak merekodkan 133 kes baharu COVID-19 dengan dua kematian berkaitan jangkitan wabak berkenaan, hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan, berkata dua kematian berkenaan masing-masing dilaporkan di Sibu, menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan COVID-19 meningkat kepada 76 orang atau sebanyak 0.92 peratus dari keseluruhan kes positif dilaporkan di Sarawak.

“Kes kematian ke-75 melilbatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 41 tahun yang telah mendapatkan rawatan di Hospital Sibu dan kes berasal dari daerah Sibu. 

“Kes telah mengalami gejala seperti demam dan batuk selama beberapa hari sebelum mendapatkan rawatan awal dan membuat saringan COVID-19.

“Saringan ujian rT-PCR yang dibuat di Hospital Sibu didapati positif pada 8 Februari 2021 dan keadaan kesihatan kes semakin merosot dan telah disahkan meninggal dunia pada 22 Februari 2021,” katanya.

Sementara itu, kata jawatankuasa kematian ke-76 melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 74 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sibu apabila keputusan bagi ujian rT-PCR sebagai saringan kontak rapat adalah positif COVID-19. 

JPBNS berkata kes tidak mengalami sebarang tanda dan gejala COVID-19 sebelum ini dan keadaan kesihatan kes merosot dan disahkan meninggal dunia pada 23 Februari 2021.

“Kes mempunyai ko-morbid Parkinson. Kes ini berasal dari daerah Sibu dan mempunyai perkaitan di dalam Kluster Geronggang,” katanya.

Mengenai kes baharu di Sarawak, daripada 133 kes direkodkan di Sarawak, jumlah tertinggi hari ini dilaporkan di daerah Meradong iaitu 36 kes dan diikuti Sibu (28).

Selain itu di Betong (17), Samarahan (13), Kuching (12), Bintulu (8), Julau (6), Subis (6), Miri (3), Saratok (1), Kanowit (1), Beluru (1) dan Dalat (1).

“Hari ini juga, 162 kes orang yang disyaki (PUI) baharu dilaporkan dan 11 PUI masih menunggu keputusan ujian makmal,” katanya.
 

Advertisement