Anda di sini

Bayi lelaki alami pendarahan otak, mata dipercayai didera

Advertisement
 

SIBU: Bayi lelaki berusia satu tahun lima bulan dipercayai didera selepas didapati mengalami pendarahan otak dan mata.

Kejadian itu disedari apabila pihak Hospital Sibu menerima pesakit bayi tersebut dari Hospital Kanowit dengan tujuan untuk pengimbasan otak pada 18 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Tega Bilong berkata, kanak-kanak tersebut kini dirawat di Unit Penjagaan Rapi (ICU) Kanak-Kanak Hospital Sibu selepas menjalani pembedahan otak.

"Pemeriksaan menunjukkan ada pendarahan di bahagian otak dan mata berkemungkinan disebabkan oleh goncangan atau deraan kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan hari ini (23 Feb).

Katanya, pihak hospital telah dinasihatkan untuk membuat laporan polis kerana hasil pemeriksaan menunjukkan ada pendarahan di mata dan otak serius yang tidak konsisten dengan kenyataan ibu mangsa.

"Tiada sebarang kesan kecederaan yang lain dijumpai di bahagian tangan, kaki dan badan kecuali pendarahan di bahagian otak dan pendarahan di dalam mata mangsa," jelas Tega.

Menurutnya, hasil temu bual dengan ibu mangsa, 28, mengatakan anaknya didapati tidak sedarkan diri disyaki terjatuh semasa bermain iaitu memanjat kayu tingkap di rumah ketika mereka membeli barang keperluan di pasar.

Susulan itu katanya, mangsa dikejarkan oleh ibu bapanya ke Hospital Kanowit untuk rawatan dengan menunggang motosikal pada hari kejadian.

Katanya lagi, polis turut menemu bual datuk mangsa yang memberitahu dia sedang memberi ayam makan ketika kejadian, manakala nenek mangsa ada di dalam rumah.

Katanya lagi, datuk mangsa memberitahu dia ada terdengar bunyi benda jatuh dan terus masuk ke rumah dan mendapati mangsa dalam keadaan separuh sedar.

Nenek mangsa dikatakan terus memangku mangsa sementara menunggu bantuan tiba.

Difahamkan, rumah keluarga manga tiada bekalan elektrik dan air bersih.

Keadaan rumah teramat daif di mana keadaan lantai tempat mangsa dipercayai terjatuh tidak rata dan terdapat lantai yang agak tinggi di dalam rumah tersebut.

Rumah tersebut didiami oleh tujuh orang dan ibu mangsa mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulu.

Ibu mangsa telah berkahwin baharu selama tiga tahun dan kedua-dua suami isteri tidak bekerja tetap.

"Tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini sehingga laporan perubatan daripada pihak Hospital Sibu mengesahkan kecederaan mangsa adalah disebabkan penderaan," ujar beliau

Beliau menambah kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

  • oleh
  • Advertisement