Anda di sini

Syarikat pembinaan, pembuatan, peladangan dicadang kemuka SOP diguna pakai - Uggah

Advertisement
Uggah pada sidang media perkembangan COVID-19 hari ini. - Gambar oleh Chimon Upon 

KUCHING: Semua syarikat pembinaan, pembuatan, peladangan dan sektor lain diminta untuk membentangkan strategi penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai di premis masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JBPNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya telah bermesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai perkara tersebut hari ini.

“Daripada mesyuarat itu, kita mencadangkan supaya semua syarikat pembinaan, pembuatan, peladangan dan sektor lain membentangkan pelan mereka membasmi jangkitan COVID-19 di tempat kerja masing-masing.

“Ini berikutan terdapat satu syarikat di Kuala Lumpur yang tidak mempunyai rekod jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerjanya dan ini jelas menunjukkan keberkesanan pengurusan penguatkuasaan dalam membasmi wabak ini,” katanya pada sidamg media harian COVID-19 di bangunan lama Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau berharap agar pihak syarikat mempunyai penyelesaian dan tidak mengharapkan anggota penguatkuasa ke kilang-kilang untuk membuat pemeriksaan.

Tambahnya, strategi ini boleh digunakan di semua tempat secara meluas seperti kawasan rumah panjang, perumahan, dan tempat-tempat tarikan orang ramai jika ia terbukti berkesan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Chin Zhin Hing berkata, seramai 97,000 petugas barisan hadapan telah didaftarkan dalam program vaksinasi Sarawak COVID-19 bagi fasa pertama yang dijangka akan dilancarkan pada 27 Februari ini.

Menurut beliau, pihaknya telah mempunyai senarai nama untuk semua petugas barisan hadapan yang layak di Sarawak.

“Sehubungan itu, mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai ko-morbid diminta untuk mendaftar pada fasa kedua dan ketiga pada program vaksinasi akan datang,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement