Anda di sini

Lebih 4,000 petugas kesihatan ATM dijangka terima vaksin

Advertisement
Anggota Perkhidmatan Kesihatan Angktan Tentera Malaysia (ATM) membawa keluar vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech dari kotak penghantaran khas untuk dimasukkan ke dalam peti sejuk beku khas di 93 Depot Perubatan dan Pergigian ATM, Hospital ATM Tuanku Mizan hari ini. - Gambar Bernama
Anggota Perkhidmatan Kesihatan ATM membawa keluar vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech dari kotak penghantaran khas untuk dimasukkan ke dalam peti sejuk beku khas di 93 Depot Perubatan dan Pergigian ATM, Hospital ATM Tuanku Mizan hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Lebih 4,000 petugas kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diberikan keutamaan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Strategik Vaksin COVID-19/Insp Jen Bahagian Perkhidmatan ATM Brig Jen Datuk Dr Rosman Ab Rahman berkata sebanyak 4,680 dos vaksin diterima ATM hari ini.

“Pemberian vaksin akan dilakukan selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijadualkan menerima vaksinasi, Rabu ini. Ini adalah penghantaran pertama diterima ATM daripada enam penghantaran yang akan diperolehi secara berperingkat mengikut perancangan ditetapkan kerajaan.

"Kami masih lagi merancang (tentang) siapa yang akan dapat vaksin. (Namun), keutamaan adalah kepada petugas kesihatan ATM, petugas barisan hadapan dan mereka yang bertugas di zon merah dan anggota bertugas di kawasan-kawasan penting juga akan pertimbangkan untuk waktu ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan penerimaan vaksin COVID-19 di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di 93 Depot Perubatan dan Pergigian ATM, Hospital ATM Tuanku Mizan, Wangsa Maju, di sini.

Dr Rosman berkata untuk fasa pertama ini, sebanyak 32 peratus vaksin COVID-19 iaitu 84,240 dos akan diberi keutamaan kepada petugas kesihatan ATM dan petugas kesihatan awam Kementerian Pertahanan serta lain-lain petugas ATM yang akan diberi mengikut lokaliti kawasan diisytihar sebagai zon merah.

Sementara itu, Pengarah Farmasi Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM Brig Jen Datuk Dr A Halim Basari berkata bagi fasa pertama program imunisasi ini dikhususkan kepada warga ATM dan kakitangan MINDEF manakala bagi fasa kedua dan ketiga pula akan melibatkan ahli keluarga ATM, tanggungan dan veteran.

Menurut beliau, keseluruhannya ATM akan menerima sebanyak 84,240 dos dalam enam penghantaran secara berperingkat hingga penghujung bulan Mac ini.

Di KOTA BHARU, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan akan menerima sejumlah 3,922 bekalan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech pada 24 Feb ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata sebanyak 1,430 pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri itu akan mendapat suntikan vaksin dalam masa terdekat.

“Proses penerimaannya akan dikawal ketat bagi memastikan ia berjalan lancar,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan pelindung muka, vitamin, air mineral, kertas tisu dan cecair nyah kuman daripada Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

Beliau berkata proses suntikan vaksin akan dijalankan di 13 lokasi termasuk di IPK dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD). - Bernama

Advertisement