Anda di sini

Lebih 2,000 aduan pembelian barangan, perkhidmatan sepanjang Januari: Rosol

Advertisement

KUALA BERANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), menerima 2,096 aduan mengenai pembelian barangan dan perkhidmatan sepanjang Januari lepas.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, tiga aduan yang tertinggi adalah berkenaan pembelian dalam talian iaitu sebanyak 794 kes, diikuti aduan perkhidmatan mengelirukan (384) dan aduan mengenai harga barangan (376).

Katanya, tiga negeri yang mencatatkan aduan pembelian barangan dan perkhidmatan yang tertinggi adalah Selangor sebanyak 586 aduan, diikuti Kuala Lumpur (566) dan Johor (141).

“Mengenai pembelian dalam talian, aduan yang paling tinggi direkodkan membabitkan platform media sosial iaitu 308 aduan, platform ‘marketplace’ 145 aduan dan aduan mengenai penyedia khidmat penghantaran iaitu 123.

“Mengenai pembelian dalam talian juga, aduan yang paling banyak kita (KPDNHEP) terima adalah mengenai barangan yang tidak sampai ke tangan pengguna iaitu 552 aduan, barang yang diterima tidak sama seperti yang diiklankan sebanyak 122 aduan dan pembeli ingin menuntut duit mereka kerana tidak berpuas hati dengan barangan atau perkhidmatan ditawarkan sebanyak 49 aduan,” katanya.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, demikian selepas program Penyampaian Bantuan Barangan Makanan Khas kepada penduduk terjejas COVID-19 di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Bukit Tok Bat, di sini semalam.

Sehubungan itu, Rosol menasihati orang ramai supaya berhati-hati semasa melakukan transaksi dalam talian dan sentiasa menyimpan bukti pembelian.

“Semua transaksi pembelian dan sebagainya sama ada secara fizikal ataupun dalam talian, perlu simpan resit urus niaga untuk dijadikan bahan bukti bagi memudahkan pihak kita ambil tindakan.

“Terutama yang berurusan melalui media sosial kena berhati-hati kerana banyak penipuan berlaku di situ. Kalau pembelian di platform ‘marketplace’ lebih mudah untuk kenal pasti peniaga tetapi di media sosial agak sukar,” katanya. — Bernama

Advertisement