Anda di sini

Wartawan ditumbuk kerana rakam gambar kemalangan

Advertisement
Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian. - Gambar ihsan polis
Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian. - Gambar ihsan polis

KUCHING: Seorang wartawan akhbar berbahasa Cina ditumbuk seorang lelaki yang tidak dikenali kerana mengambil gambar di lokasi kemalangan maut di kawasan tapak projek perumahan belakang Stesen Minyak Petronas, Ulu Bintawa, pada Sabtu. 

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 2.50 petang apabila mangsa, 45, datang ke tempat kemalangan jalan raya tersebut untuk merakam gambar sebelum didatangi dan dimarahi tiga lelaki.

"Mereka meminta supaya memadamkan gambar yang telah diambil dan telah berlaku pertengkaran antara wartawan berkenaan dengan tiga lelaki berkenaan. 

"Wartawan berkenaan telah ditumbuk salah seorang daripada tiga lelaki terbabit kerana masih terdapat gambar mangsa kemalangan di dalam telefon bimbit," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambah Awang Din, wartawan berkenaan juga diberi amaran oleh lelaki tersebut supaya tidak menyiarkan kejadian berkenaan.

"Wartawan yang ketakutan telah tampil membuat laporan polis," ujarnya. 

Tegas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 506 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata dalam kemalangan itu, seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori maut dilanggar sebuah pikap yang mengundur di lokasi tersebut. 

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Bong Kai Feng, 28, dari Kampung Musi, Bau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pada 20 Februari 2021 (Sabtu) sekitar jam 3.05 petang, petugas Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching telah menerima maklumat daripada anggota Balai Polis Bintawa memaklumkan satu kes kemalangan maut melibatkan dua kenderaan iaitu pikap dan lori di jalan dalam kawasan tapak projek berkenaan. 

"Siasatan awal mendapati pikap yang dipandu secara mengundur oleh seorang penyelia tapak pembinaan jalan tersebut untuk keluar dari kawasan pembinaan telah terlanggar mangsa yang sedang berdiri di belakang lori dipandunya," katanya dalam kenyataan. 

Jelasnya, akibat pelanggaran itu, mangsa yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS) yang tiba di lokasi pada jam 2.10 petang. 

Alexson menambah, mayat kemudiannya dihantar ke Unit Forensik HUS untuk ujian COVID-19 sebelum bedah siasat dijalankan. 

Tegasnya, kedua-dua kenderaan terbabit kemalangan turut ditahan untuk siasatan lanjut kes di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • oleh
  • Advertisement