Anda di sini

Tiga sekolah menengah terima sumbangan Hospital Pakar KPJ Sabah

Advertisement
 Maznie (empat kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil SMK St. Francis Convent.
SUMBANGAN: Maznie (empat kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil SMK St. Francis Convent.

KOTA KINABALU: Hospital Pakar KPJ Sabah mengambil inisiatif mendermakan cecair pembersih tangan dan pelindung muka kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di daerah ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Sabah Miranda Harumal berkata, sumbangan berkenaan diagihkan untuk 556 pelajar dari tiga sekolah menengah yang akan menjalani peperiksaan SPM pada 22 Februari 2021.

Katanya, sekolah yang terlibat termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Francis Convent, Sekolah Menengah (SM) Kian Kok dan SM All Saints. 

"Sumbangan ini antara usaha Hopital Pakar KPJ Sabah untuk meningkatkan tahap keselamatan dalam kalangan pelajar di sekolah terutama semasa menduduki peperiksaan SPM.

"Pada masa sama, ia menggalakkan pelajar untuk sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan diri.

"Menerusi Program Pendidikan Kesihatan (HealEd) yang dijalankan Hospital Pakar KPJ Sabah, ia memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama di antara pihak KPJ Sabah dengan sekolah-sekolah sekitar daerah ini," katanya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, keselamatan pelajar amat penting khususnya pada waktu pandemik COVID-19 sekarang.

Menurutnya, sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan yang terpilih, Hospital Pakar KPJ Sabah sentiasa bersedia bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah apabila diperlukan bagi memastikan keperluan penjagaan kesihatan pelajar dapat dipenuhi.

Katanya, Program HealEd yang dimulakan sejak Julai 2019 sebagai sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Hospital Pakar KPJ Sabah.

"Program ini bertujuan memberi kesedaran kesihatan dalam kalangan guru dan pelajar di sekolah selain menjadi platform untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih sihat dan kondusif," jelasnya.

Penyerahan sumbangan berkenaan disampaikan oleh Eksekutif Perhubungan Awam Hospital Pakar KPJ Sabah Maznie Hamsah kepada Pengetua SMK St. Francis Convent Theresa Chong; Pengetua SM Kian Kok Goh Teck Seng dan Penolong Kanan Kokurikulum SM All Saints Artina Ariff.

  • oleh
  • Advertisement