Anda di sini

Satu jam penuh debaran, bawa vaksin COVID-19 - Juruterbang

Advertisement
Hamdan ketika ditemui di KLIA hari ini. Beliau yang berasal dari Tumpat, Kelantan, bertanggungjawab menerbangkan pesawat khas tersebut bagi membawa kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech. Vaksin itu berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di lapangan terbang di Jerman iaitu Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain termasuk Malaysia. - Gambar Bernama
Hamdan ketika ditemui di KLIA hari ini. - Gambar Bernama

SEPANG: Ia merupakan satu jam yang paling mendebarkan bagi Kapten Hamdan Che Ismail sepanjang tempoh 29 tahun kerjayanya dalam dunia penerbangan ketika mengendalikan pesawat Malaysia Airlines MH604 yang membawa kumpulan pertama vaksin COVID-19 ke Malaysia hari ini.

Sepanjang penerbangan dari Singapura itu, Hamdan yang juga Pengarah Operasi Penerbangan Malaysia Airlines perlu memastikan suhu yang bersesuaian dalam pesawat dikekalkan agar tidak menjejaskan keberkesanan vaksin yang dibawa.

Hamdan mengakui berasa sedikit gementar dan takut apabila memikirkan mengenai tugasan hari ini adalah untuk membawa vaksin COVID-19 bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, iaitu program vaksinasi terbesar bakal dilaksanakan di negara ini.

"Bila fikir ada vaksin COVID-19 dalam pesawat memang ada terfikir takut ia (vaksin) rosak... Alhamdulillah vaksin telah sampai ke Malaysia,” kata juruterbang itu kepada Bernama selepas mendaratkan pesawat itu, serta menambah cuaca sepanjang penerbangannya hari ini adalah baik.

Pesawat MH604 yang membawa 312,390 dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech itu mendarat di  Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 10.07 pagi dari Singapura.

Penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu yang dikendalikan MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo) iaitu cabang kargo syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Bhd itu menggunakan pesawat Airbus 330-300 yang dihiasi “livery” Jalur Gemilang ketika membawa vaksin COVID-19 untuk Malaysia itu.   

Hamdan berkata beliau bersama lima lagi kru iaitu seorang pembantu juruterbang, dua kru kabin, seorang petugas MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo) serta seorang jurutera berlepas ke Singapura pada pukul 6 pagi tadi  dan tiba satu jam kemudian.

Menurutnya, kira-kira dua jam diperlukan untuk proses memindahkan vaksin COVID-19 ke dalam kargo pesawat itu sebelum berlepas kira-kira 9 pagi.

“Apabila tiba di KLIA, saya rasa gembira, terharu dan teruja kerana telah berjaya membawa vaksin COVID-19 ke negara ini,” katanya yang turut berkongsi bagaimana kru penerbangan sentiasa memeriksa suhu dalam pesawat kerana vaksin tersebut memerlukan suhu -70 darjah Celcius. - Bernama 

Advertisement