Anda di sini

Kecuaian Leeds beri Wolves kemenangan

Advertisement
 Penjaga Wolverhampton Wanderers Rui Patricio (dua kanan) bersaing dengan pemain pertahanan Leeds Pascal Struijk (dua kiri) pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Wolverhampton Wanderers dan Leeds United di stadium Molineux di Wolverhampton, England, kelmarin. — Gambar AFP
DIASAK: Penjaga Wolverhampton Wanderers Rui Patricio (dua kanan) bersaing dengan pemain pertahanan Leeds Pascal Struijk (dua kiri) pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Wolverhampton Wanderers dan Leeds United di stadium Molineux di Wolverhampton, England, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Wolverhampton Wandereres (Wolves) meraih kemenangan ketiga dari empat perlawanan Liga Perdana Inggeris selepas gol sendiri penjaga gol Leeds, Illan Meslier memberikan kemenangan 1-0 kepada pasukan tuan rumah pada Jumaat.

Skuad kendalian Nuno Espirito Santo itu mendapat gol kemenangan pada separuh masa kedua perlawanan di Stadium Molineux apabila rembatan Adama Traore terkena palang tetapi bola melantun masuk ke pintu gol selepas terkena Meslier.

Leeds memburu gol penyamaan tetapi cubaan Mateusz Klich terkena palang sebelum gol Patrick Bamford tidak disahkan kerana ofsaid.

Kemenangan membolehkan Wolves memintas Leeds ke tangga  ke-11 liga selepas mengekalkan prestasi memberangsangkan baru-baru ini sementara Leeds sudah tewas tiga dari empat perlawanan liga terakhir.

“Pemain seperti Adama, apabila mereka mendapat bola dan mula berlari, mereka benar-benar berbahaya. Ia satu rembatan yang cantik,” kata Nuno. “Ia saat yang sukar untuk penjaga gol mereka.

“Kami masih mempunyai beberapa isu untuk menyesuaikan diri dengan permainan tetapi pendekatan kami pada saat sukar adalah sentiasa berusaha dan percaya.

“Anda tidak dapat  berkata apa-apa tentang sikap pemain. Mereka meningkatkan standard yang tinggi dan saya  berharap kami akan mengekalkannya.”

Rentak permainan menarik bermula apabila Raphinha mengumpan bola kepada Klich tetapi rembatan pemain tengah itu terkena palang.

Cubaan susulan Pascal Struijk bagaimanapun diselamatkan penjaga gol Wolves, Rui Patricio dan satu lagi cubaan Raphinha tersasar.

Wolves bangkit dan Meslier menepis satu cubaan Nelson Semedo dari sudut sukar.

Meslier juga bertindak tangkas menepis satu lagi cubaan Semedo sebelum rehat.

Penyerang Wolves, Pedro Neto, merampas bola muntah dari Jack  Harrison sebelum melakukan penyudah  yang hambar.

Satu umpanan Raphinha sampai ke arah Liam Cooper dan tandukan beliau ditepis Patricio.

Kegagalan Leeds menyempurnakan peluang terakhir itu membawa padah apabila Wolves membuka jaringan pada  minit ke-64.

Traore menerima bola dari kiri padang dan melepasi kawalan Luke Ayling sebelum melakukan rembatan dari jarak jauh yang terkena palang tetapi bola melantun terkena belakang Meslir dan masuk ke pintu golnya sendiri.

Patricio menafikan gol penyamaan Leeds dengan menepis cubaan Cooper dan malam Leeds semakin mengecewakan apabila gol Bamford tidak dibenarkan pengadil kerana ofsaid. — AFP

Advertisement