Anda di sini

Tidak benar projek jambatan Batang Lupar ditangguh

Advertisement
Julaihi ketika meninjau tapak pembinaan jambatan Batang Lupar, hari ini.
Julaihi ketika meninjau tapak pembinaan jambatan Batang Lupar, hari ini.

SEBUYAU: Projek pembinaan jambatan Batang Lupar tidak ditangguhkan seperti mana didakwa sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, demikian menurut Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi.

"Yang ditangguhkan adalah majlis pecah tanah projek tersebut yang sepatutnya dijadualkan diadakan pada 18 Februari lalu atas sebab kebimbangan penularan wabak COVID-19 di Sarawak. 

"Untuk projek jambatan ini ia tetap diteruskan dan tidak ditangguh, cuma tarikh bagi majlis pecah tanah sahaja yang ditangguhkan," katanya pada sidang media selepas meninjau tapak Projek Jambatan Batang Lupar di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Safri Zainudin.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu, projek tersebut masih berjalan seperti biasa dan pihak kontraktor sudah melakukan kerja-kerja di tapak.

"Oleh itu, kita tidak pernah menangguhkan atau membatalkan projek ini sebab projek telah dianugerahkan kepada kontraktor yang berkaitan," jelas Julaihi.

Menurutnya lagi, surat setuju terima bagi projek berkenaan telah pun dianugerahkan kepada kontraktor pada 10 Disember 2020 dan kerja-kerja pembinaan telah bermula pada 7 Januari 2021.

Katanya, projek Jambatan Batang Lupar yang bernilai RM848 juta melibatkan pembinaan jambatan dua lorong sehala mengikut piawaian jalan JKR R5 dengan panjang keseluruhan 4,844 meter.

"Projek ini dijangka siap dalam tempoh 48 bulan dengan tarikh siap dijadualkan pada Januari 2025. Apabila ia siap kelak, jambatan ini akan menghubungkan Sebuyau dengan Triso serta menggantikan perkhidmatan feri sepenuhnya di sungai tersebut," ujarnya.

Selain itu, beliau memberitahu pembinaan jalan pesisir di Sarawak sepanjang 896 km yang membabitkan kos RM5 bilion ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

Jelasnya, ia melibatkan pembinaan semua jambatan di laluan tersebut termasuk Jambatan Batang Lupar yang bernilai RM848 juta.

Kata beliau, pembinaan jalan pesisir ini melibatkan tiga komponen iaitu pertama, membina semua jambatan untuk menggantikan perkhidmatan feri.

“Kedua, kita bina laluan terputus iaitu yang tiada jalan raya termasuk jambatan kita bina dan ini pun ditanggung oleh kerajaan negeri.

“Ketiga, kita menaiktaraf jalan pesisir yang ada sekarang, maknanya, keseluruhan pembinaan dan usaha untuk melengkapkan jalan pesisir di Sarawak 100 peratus ditanggung oleh kerajaan negeri," tegasnya. 

Dalam pada itu, Julaihi berkata, kerajaan turut menanggung sepenuhnya kos pembinaan Jalan Utama kedua Sarawak kerana kerajaan negeri komited untuk memberi kemudahan perhubungan yang lebih baik kepada rakyat.

Advertisement