Anda di sini

Pembangkang Georgia desak pilihan raya segera dengan peletakan jawatan PM

Advertisement
 Penyokong pembangkang mengibarkan bendera Georgia sebagai respon pengumuman peletakan jawatan Perdana Menteri Girogi Gakharia di ibu pejabat Pergerakan Bersatu Kebangsaan di Tbilisi. — Gambar AFP
SOKONGAN: Penyokong pembangkang mengibarkan bendera Georgia sebagai respon pengumuman peletakan jawatan Perdana Menteri Girogi Gakharia di ibu pejabat Pergerakan Bersatu Kebangsaan di Tbilisi. — Gambar AFP

TBILISI: Seorang pemimpin pembangkang berpengaruh Georgia, kelmarin mendesak pilihan raya segera selepas perdana menteri meletak jawatan kerana rancangan untuk menahannya, memburukkan lagi krisis politik yang mencengkam negara itu sejak pilihan raya tahun lepas.

Giorgi Gakharia, 45, bersama parti memerintah Georgian Dream, yang menjadi perdana menteri sejak 2019, berkata beliau meletak jawatan kerana tidak bersetuju dengan kerajaan kerana memaksa arahan mahkamah untuk menahan Nika Melia.

Langkah untuk menahan Melia pengerusi Pergerakan Bersatu Kebangsaan (UNM) dari bekas presiden dalam buangan, Mikheil Saakashvili menyebabkan kemarahan di kalangan pembangkang dan juga amaran dari sekutu Barat Georgia.

Kelmarin, parti memerintah mengumumkan ia akan menamakan Menteri Pertahanan dan bekas perdana menteri, Irakli Garibashvili sebagai perdana menteri.

Bercakap kepada wartawan di luar ibu pejabat partinya, Melia, memperlekehkan pencalonan Garibashvili sebagai “lucu” dengan berkata pelantikannya “bermakna Georgian Dream sudah berakhir dan pilihan raya segera harus diadakan”.

Penduduk Georgia melihat krisis ini dengan rasa cemas dan menyuarakan rasa marah.

“Ia tidak jelas kepada saya apa yang kerajaan ini lakukan untuk keutamaan negara – integrasi Eorpah dan Euro-Atlantik,” kata seorang penterjemah, Ketevan Charkhalashvili.

“Rasuah semakin meningkat dan anda tidak tahu parti mana atau ahli politik mana yang boleh dipercayai,” kata seorang penerbit filem, Ana Bedia.

Sebuah mahkamah di Tbilisi pada Khamis lepas mengarahkan Melia diletakkan dalam tahanan sementara menunggu perbicaraan selepas enggan membayar yuran ikat jamin tambahan untuk pendengaran satu kes berkaitan tunjuk perasaan antikerajaan pada 2019.

Dia didakwa dengan “menganjurkan keganasan besar-besaran” semasa tunjuk perasaan dan berdepan dengan hukuman penjara sembilan tahun.

Melia, 41, menolak kes itu sebagai bermotif politik dan penyokongnya berikrar untuk menghalang polis jika mereka bertindak menahannya.

Arahan penangkapan meningkatkan lagi ketegangan krisis sejak pilihan raya parlimen pada bulan Oktober, yang didakwa pembangkang sebagai penipuan selepas Georgian Dream mencapai kemenangan.

Anggota pembangkang enggan duduk dalam dewan parlimen baharu dan menuntut pilihan raya baharu.

Kementerian dalam negeri berkata ia “menangguhkan sementara rancangan penahanan” Melia berikutan dengan peletakan jawatan perdana menteri.

Melia dituduh merancang tunjuk perasaan ganas yang berlaku di Tbilisi pada Jun 2019 selepas seorang ahli parlimen dari Rusia berucap dari kerusi speaker, satu langkah kontroversi dalam sebuah negara di mana hubungan dengan Moscow masih tegang selepas perang singkat pada 2008.

Perhimpunan menyaksikan ribuan penunjuk perasaan bertempur dengan polis  yang menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah untuk menangani orang ramai.

Dipuji sebagai demokrasi jarang yang muncul dari serpihan Kesatuan Soviet, Georgia cuba mendapatkan perhubungan rapat dengan Barat sejak mendapat kemerdekaan pada 1992, sekali gus membangkitkan kemarahan Moscow.

Sekutu Tbilisi, AS, berkata ia “sangat bimbang dengan perkembangan politik semasa di Georgia.”

“Kami menggesa kerajaan Georgia untuk memperkuatkan komitmen untuk memastikan demokrasi, kebebasan individu dan undang-undang dengan satu sistem kehakiman yang bebas politik,” kata Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan.

Berkuasa sejak 2012, Georgian Dream melihat populariti mereka menurun kerana kegagalan menangani ekonomi yang tidak berkembang dan gagal mengekalkan komitmen kepada demokrasi. — AFP

Advertisement