Anda di sini

Man Utd belasah Sociedad 4-0, Tottenham atasi Wolfsberg 4-1

Advertisement
 Babak aksi perlawanan pusingan 32 akhir kejohanan Liga Europa di antara Real Sociedad dan Manchester United di Stadium Juventus di Turin. — Gambar AFP
SENGIT: Babak aksi perlawanan pusingan 32 akhir kejohanan Liga Europa di antara Real Sociedad dan Manchester United di Stadium Juventus di Turin. — Gambar AFP

PARIS: Bruno Fernandes menjaringkan dua gol ketika Manchester United membelasah Real Sociedad 4-0 pada perlawanan pusingan 32 akhir Liga Europa sementara Gareth Bale menyerlah bersama Tottenham Hotspur ketika membenam kelab dari Austria, Wolfsberg 4-1 pada Khamis.

United hampir pasti mengesahkan tempat ke pusingan 16 akhir, dengan empat gol ‘di tempat lawan’ menjelang perlawanan kedua minggu hadapan, selepas perlawanan pertama ini diadakan di Turin kerana sekatan perjalanan COVID-19.

“Kami tahu 4-0 adalah satu keputusan yang bagus tetapi kami harus menyedari apa yang boleh mereka lakukan,” kata Fernandes ketika memberitahu penyiaran BT Sport.”

Ejen Bale, Jonathan Barnett, ada berkata pada Rabu lepas bahawa pemain sayap antarabangsa Wales itu “berada pada penghujung kerjayanya,” selepas pengurus Tottenham, Jose Mourinho, mempersoalkan status pemain itu yang dimuat naik ke laman sosial Instagram mencadangkan beliau berada dalam keadaan kesihatan yang baik walaupun tidak diturunkan ketika Spurs tewas kepada Everton dalam aksi Piala FA Inggeris minggu lepas.

Tetapi Bale mengumpan gol pertama beliau bersama Tottenham sejak April 2013 untuk membolehkan Son Heung-min membuka jaringan di Budapest menentang Wolfsberg, sebelum menjaringkan gol kedua pada minit ke-28.

Satu gol cantik Lucas Moura meletakkan Spurs selesa 3-0 pada masa rehat sebelum Michael Liendl merapatkan kedudukan untuk Wolfsberg menerusi satu tendangan penalti minit ke-55 namun Spurs kelihatan melangkah sebelah kaki ke pusingan 16 akhir kejohanan apabila Carlos Vinicius menjaringkan gol keempat pada minit ke-88.

Mourinho tidak pernah tewas perlawanan peringkat kalah singkir pada kejohanan yang beliau menangi pada 2003 bersama FC Porto dan Manchester United pada 2017.

AC Milan, yang belum melangkah ke peringkat suku akhir mana-mana kejohanan di Eropah sejak musim 2011/2012 Liga Juara-Juara, akur dengan keputusan seri 2-2 di Red Star Belgrade.

Milan, yang akan bertemu Inter pada pertarungan dua kelab berjiran dan dua tangga teratas Serie A Itali Ahad ini, diikat oleh gol penyamaan Milan Pavkov pada minit ke-93 walaupun Red Star bermain dengan 10 pemain pada lewat permainan.

Pemain muda Arsenal, Bukayo Saka, meneruskan kecemerlangan beliau musim ini dengan gol keenam apabila mengikat kedudukan 1-1 ketika menentang Benfica di Stadio Olimpico di Rom.

Pada perlawanan lain, pendahulu Ligue 1 Perancis, Lille, bolos dua gol pada tiga minit terakhir ketika tewas 1-2 kepada Ajax.

Timothy Weah meletakkan Lille di hadapan pada minit ke-18 tetapi penalti Dusan Tadic dan gol Brian Brobbery memastikan kemenangan Ajax.

Leicester City, di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, seri tanpa jaringan di Slavia Prague tetapi ada banyak aksi menarik lain yang menyaksikan Bayer Leverkusen bangkit dari ketinggalan 0-3 tetapi tewas 3-4 kepada Young Boys dari Switzerland di Bern sementara  Olympiakos menewaskan PSV Eindhoven 4-2 di Pireaus.

Borna Barisic menjaringkan dua penalti, termasuk gol kemenangan pada minit akhir ketika Glasgow Rangers menang 4-3 di Royal Antwerp.

Molde bangkit dari ketinggalan 1-3 sebelum seri 3-3 dengan Hoffenheim sementara AS Roma menang 2-0 di Braga dan Napoli tewas 0-2 kepada Granada. — AFP

Advertisement