Anda di sini

Kuching City FC, Sarawak United mungkin ‘berhijrah’ ke Semenanjung

Advertisement
 

KUCHING: Kuching City FC dan Sarawak United berkemungkinan terpaksa ‘berhijrah’ ke Semenanjung negara bagi menghadapi saingan musim baharu Liga Premier 2021 yang bermula 5 Mac ini sekiranya kerajaan negeri Sarawak kekal dengan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ketat.

Pengerusi Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman (gambar) berkata pengurusan Kuching City FC telah bermesyuarat dan berbincang mengenai perkara tersebut pagi tadi.

"Sebagai permulaan kita berhasrat untuk cuba memohon kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), agar empat perlawanan awal kami diadakan di tempat lawan (Semenanjung), bertandang di tempat lawan dahulu memandangkan SOP yang mewajibkan pemain dikuarantin selama 14 hari jika balik ke Sarawak.

“Jika mereka (MFL) bersetuju, kami akan terus pergi ke Kuala Lumpur dan menetap di sana sepanjang empat perlawanan tersebut. Selepas empat perlawanan tersebut, kita akan melihat semula SOP kerajaan negeri Sarawak, jika SOP masih sama mungkin kita akan membuat keputusan untuk memilih satu stadium di Semenanjung sebagai gelangan tuan rumah kita buat sementara waktu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais mengesahkan bahawa pasukan Sarawak United mahu menjadikan stadium di sekitar Lembah Klang sebagai gelanggang rasmi sementara pasukan itu. - BERNAMA

Advertisement