Anda di sini

Dua pemain Piala Presiden disenarai untuk perlawanan pra musim

Advertisement
 Hizaz (kanan) bersama pemain paling senior Sabah FC, Mohd Amri Yahyah selepas latihan di Stadium Likas baru-baru ini.
GANDINGAN: Hizaz (kanan) bersama pemain paling senior Sabah FC, Mohd Amri Yahyah selepas latihan di Stadium Likas baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Dua pemain Piala Presiden turut dibawa bersama skuad senior Sabah FC ke Kuala Lumpur semalam untuk dua perlawanan persahabatan pra musim.

Pemain itu ialah penyerang Mohd Hizaz Lokman dan penjaga gol Mohd Azlizan Mohd Azlan.

Mereka adalah antara lapan pemain dari skuad Piala Presiden yang diberi peluang menjalani latihan bersama skuad senior Sabah FC sejak akhir tahun lalu.

Sabah FC berlepas ke Kuala Lumpur semalam dan dijadualkan menentang Sarawak United di Stadium PKNS, hari ini (Ahad) dan KL United di Stadium Cheras pada 23 Februari.

Ini kali pertama pasukan kendalian jurulatih dari Indonesia,Kurniawan Dwi Yulianto itu mengadakan perlawanan persahabatan di luar Sabah sebelum sepak mula Liga Super musim ini, 5 Mac depan.

Jurulatih skuad Piala Presiden (Sabah FC III), Johnny Dominicus menyifatkan peluang yang diberikan kepada kedua-dua pemain tersebut sebagai satu pendedahan terbaik kepada pemain muda berpotensi untuk menimba pengalaman.

"Sudah tentu ini peluang yang sangat baik kepada mereka untuk meningkatkan lagi kualiti permainan," katanya.

Menurut beliau, Kurniawan sudah menghubunginya untuk memaklumkan membawa kedua-dua pemain berkenaan bagi perlawanan persahabatan itu.

Ketika ditemui sebelum berlepas ke Kuala Lumpur pagi ini, Hizaz, 21, berkata, dia berterima kasih kepada jurulatih Kurniawan kerana memberi kepercayaan kepadanya menyertai rombongan pasukan Sabah FC bagi misi perlawanan persahabatan itu.

"InsyaAllah, saya akan manfaat peluang ini untuk bermain dengan lebih baik bersama rakan-rakan pemain senior yang lebih berpengalaman," katanya.

Saingan Liga Super musim ini akan disingkap dengan pertemuan antara dua pasukan teratas musim lalu iaitu juara, Johor Darul Ta'Zim (JDT) dan naib juara Kedah Darulaman FC  di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri pada 5 Mac.

Ia disusuli dengan perlawanan pertama pasukan lain pada 6 dan 7 Mac. Sabah FC dijadualkan memulakan kempennya menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 6 Mac.

  • oleh
  • Advertisement