Anda di sini

Cukup terbaikkah pencapaian Guardiola di City?

Advertisement
PENCAPAIAN TERBAIK?: Gambar fail 8 Julai 2020 ini menunjukkan Guardiola (tengah) memberikan arahan kepada anak buahnya semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Manchester City menentang Newcastle United di Stadium Etihad. — Gambar AFP
PENCAPAIAN TERBAIK?: Gambar fail 8 Julai 2020 ini menunjukkan Guardiola (tengah) memberikan arahan kepada anak buahnya semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Manchester City menentang Newcastle United di Stadium Etihad. — Gambar AFP

LONDON: Ketika Manchester City semakin mara menghampiri kejuaraan Liga Perdana Inggeris, persoalan sekarang ialah adakah ini bakal pencapaian terbaik Pep Guardiola sepanjang menjadi pengurus City?

Liverpool dijangka memberikan saingan sengit kepada City sepanjang musim tetapi juara bertahan itu tersandung begitu teruk di mana satu-satu kebimbangan mereka menjelang pertemuan berjiran menentang Everton ialah bagaimana untuk kembali ke kelompok empat teratas.

Chelsea, bertandang ke Southampton, menduduki slot terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara ketika ini selepas tempoh tanpa kalah sejak Thomas Tuchel menggantikan Frank Lampard sebagai jurulatih.

Apabila tamat perlawanan di mana Manchester City meraih kemenangan ke-17 berturut-turut dalam semua pertandingan, Guardiola semakin hampir untuk rekod paling memberangsangkan sepanjang lima tahun beliau dalam Liga Perdana Inggeris.

Kemenangan 3-1 ke atas Everton di Goodison Park pada Rabu lepas memastikan City kini berkelebihan 10 mata berbanding pencabar terdekat, Manchester United dengan baki 14 perlawanan sahaja lagi musim ini.

Mereka adalah kelab pertama dalam liga elit di England yang memulakan tahun kalendar dengan 10 kemenangan liga berturut-turut.

Guardiola sudah memenangi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris, tiga Piala Liga dan satu Piala FA bersama City.

Tetapi mencari satu jalan untuk menangani prestasi buruk kelab di awal musim selain juga menyelesaikan masalah ketiadaan penyerang sensasi, Sergio Aguero untuk hampir sepanjang musim dan juga kesan penularan COVID-19 di kelab telah meningkatkan lagi legasi beliau.

Perubahan taktik Guardiola adalah kunci kepada kebangkitan pasukan tetapi beliau tahu akan bahaya terlalu yakin semasa jadual padat perlawanan.

“Memenangi 10 perlawanan berturut-turut pada awal kalendar tahun adalah menarik tetapi seterusnya menentang Arsenal,” kata beliau.

“Ia lebih baik untuk tidak melihat kalendar, jika tidak, anda tertekan. Tetapi pada masa yang sama, ia cabaran yang menarik.”

Ketika Virgil van Dijk mengalami kecederaan di Goodison Park, musim Liverpool mula menurun mendadak dan ia masih menghantui mereka lima bulan kemudian.

Van Dijk tidak bermain sejak mengalami kecederaan lutut yang serius selepas bertembung dengan penjaga gol Everton, Jordan Pickford ketika seri 2-2 pada bulan Oktober.

Ketiadaan pemain pertahanan tengah itu dilihat sebagai sebab paling utama kejatuhan Liverpool ketika mereka hilang rekod tanpa kalah yang lama di tempat sendiri dan juga terkeluar dari saingan kejuaraan liga.

Diselubungi dengan masalah kecederaan dan juga keletihan pemain selepas memenangi kejuaraan liga yang pertama sejak 30 tahun, Liverpool dan pengurusnya, Jurgen Klopp, kelihatan sudah gelisah dengan spekulasi yang tersebar selepas kekalahan di Leicester dalam liga minggu lepas bahawa jurulatih dari Jerman itu sudah bersedia untuk meletak jawatan.

Klopp bagaimanapun mengenepikan spekulasi itu dan Liverpool mengambil langkah kecil untuk proses pemulihan apabila menewaskan RB Leipzig 2-0 pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara pada Selasa lepas.

Perlawanan berjiran menentang Everton di Anfield akan memberikan satu lagi ujian getir buat Liverpool, yang berada di tangga keenam ketika ini.

Adakah peluang untuk menebus apa yang merupakan penentu musim hambar mereka di awal musim atau Everton sekali lagi menjejaskan lagi harapan memburu empat tangga  teratas liga?

Selepas tiga kekalahan liga berturut-turut, Klopp berkata: “Kami bukan kanak-kanak, jadi kami tidak fikir pemain OK kerana kami menang satu perlawanan. Ia lebih penting di mana kami bermain dengan baik sekali lagi.”

Thomas Tuchel masih dalam tempoh bulan madu sebagai pengurus Chelsea ketika beliau membuat persediaan menentang Southampton dan memburu kemenangan keenam berturut-turut.

Setiap pengurus yang membimbing Chelsea pastinya terkesan dengan tuntutan tinggi pemilik kelab, Roman Abramovich untuk kejayaan tetapi buat masa ini, Tuchel menunjukkan reputasinya menyahut cabaran.

Bekas jurulatih Paris Saint Germain (PSG) itu, yang menggantikan Frank Lampard pada bulan Januari, berjaya memenangi hati pemainnya dengan menawarkan peluang kepada pemain yang disisihkan oleh Lampard, selain menarik perhatian dengan taktik permainan jelas dan corak latihan yang kemas.

Keputusan boleh dilihat dengan Chelsea kembali ke tangga keempat sejak di bawah kendalian Tuchel. — AFP

Advertisement