Anda di sini

Buka sekolah, pertimbangkan Zon Merah 

Advertisement
 

KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran memberi pertimbangan serius sebelum membuka semula sekolah terutamanya di kawasan Zon Merah.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Adam Prakash Abdullah berkata, pihaknya amat mengalu-alukan pengumuman Menteri Pendidikan berhubung pembukaan sekolah dan membolehkan pembelajaran secara bersemuka dilakukan di seluruh negara.

"Namun STU mahu KPM memberi pertimbangan yang serius terhadap pembukaan sekolah di kawasan Zon Merah kecuali Pusat Peperiksaan SPM yang mengenakan prosedur pengendalian standard (SOP) yang ketat akan dipatuhi.

"KPM dipohon agar mendengar saranan dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk menentukan kawasan yang selamat bagi sekolah dibuka di negeri ini. Ia memandangkan masih terdapat Zon Merah di beberapa kawasan di Sarawak," katanya kepada Utusan Borneo, hari ini.

Adam berkata, STU berharap keselamatan pelajar dan guru diberi perhatian serius lebih-lebih lagi pada masa imunisasi vaksin belum dilaksanakan lagi. 

Katanya, pihak sekolah juga dipohon agar melaporkan status kesediaan mereka kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya pertimbangan sewajarnya boleh diambil untuk memastikan sekolah selamat untuk dibuka.

"STU juga memohon agar ibu bapa terus memberi bimbingan dan pengawasan kepada anak-anak mereka yang sedang menjalani PdPR sementara menunggu pembukaan sekolah," katanya.

Sementara itu beliau memberitahu STU merakamkan setinggi penghargaan kepada KPM atas usaha menyediakan Didik TV dan berharap netizen menghargai usaha para guru dalam membantu menyediakan pelajaran untuk anak-anak.

"Janganlah terlalu cepat untuk menghukum para guru dalam keadaan yang sukar dan mendesak ini. 

"STU juga memohon agar semua guru bertenang dan tidak terlalu tertekan dengan arahan-arahan dari semasa ke semasa. Ini keadaan yang mencabar dan perlu ditangani dengan tenang dan berpandangan positif demi pendidikan anak bangsa," katanya.

Katanya guru juga harus sentiasa mematuhi SOP dan tidak memandang remeh segala amalan baik demi kesihatan mereka.

Pada Jumaat (19 Feb), Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang ditangguhkan sebelum ini susulan peningkatan kes COVID-19 akan bermula pada 1 Mac ini.

Beliau berkata keputusan itu melibatkan murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua, sementara untuk Tahun Tiga hingga Enam sesi akan bermula pada 8 Mac.

"Pelajar sekolah menengah di negeri Kumpulan A akan hadir ke sekolah pada 4 April manakala pelajar sekolah menengah di negeri Kumpulan B pada 5 April, iaitu selepas tamat sesi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020,” katanya pada sidang media.
 

  • oleh
  • Advertisement