Anda di sini

Brazil melepasi paras 10 juta jangkitan

Advertisement
 Penggali kubur lengkap berpakaian sut panjang semasa proses pengebumian mayat mangsa wabak COVID-19 di pusat perkuburan Nossa Senhora Aparecida di Manaus, Brazil. — Gambar AFP
KRITIKAL: Penggali kubur lengkap berpakaian sut panjang semasa proses pengebumian mayat mangsa wabak COVID-19 di pusat perkuburan Nossa Senhora Aparecida di Manaus, Brazil. — Gambar AFP

RIO DE JANEIRO: Brazil, negara dengan angka kematian COVID-19 kedua tertinggi di dunia, melepasi paras 10 juta jangkitan dilaporkan pada Khamis, berikutan dengan gelombang kedua teruk dan masalah dengan kempen pemvaksinannya.

Negara itu menjadi negara ketiga yang melepasi paras mengerikan itu selepas Amerika Syarikat  (AS) dan India dengan lebih dari 51,900 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam, menurut data rasmi.

Pada tempoh hari yang sama, 1,367 orang mati, menjadikan angka keseluruhan kematian kepada lebih 243,400.

Jumlah kes terkini di Brazil 10,030,626 itu berlaku ketika kritikan semakin memuncak ke atas cara kerajaan Presiden Jair Bolsonaro menangani pandemik ini dan respons pemvaksinan.

Setakat ini, tiga peratus dari 212 populasi negara itu sudah menerima satu atau dua dos suntikan.

Kempen sebulan dengan vaksin China, CoronaVac dan suntikan AstraZeneca, telah berhenti di beberapa bandar raya dan bandar kerana kekurangan dos termasuk di Rio de Janeiro.

Menteri Kesihatan, Eduardo Pazuella berkata minggu ini bahawa negara itu akan mempunyai 230  juta dos menjelang akhir bulan Julai. Tetapi ia  bergantung kepada penghantaran dos dari luar negara, dan  juga penghantaran bahagian komponen untuk pasang siap di Brazil.

Pelan kerajaan juga bergantung kepada 10 juta dos vaksin dari Rusia, Sputnik V dan 20 juta vaksin dari India, Covaxin. Brazil masih belum memuktamad kontrak dengan dua negara ini.

Ketika Brazil bertarung dengan gelombang kedua jangkitan, ia juga terpaksa berdepan dengan varian baharu virus, difahamkan lebih cepat berjangkit dan menular ke seluruh negara. — AFP

Advertisement