Anda di sini

Tenggara AS teruk dibadai ribut salji Uri

Advertisement
 Kanak-kanak meluncur menuruni bukit selepas ribul salji membadai Fort Worth, Texas kelmarin. — Gambar AFP
KESEJUKAN: Kanak-kanak meluncur menuruni bukit selepas ribul salji membadai Fort Worth, Texas kelmarin. — Gambar AFP

HOUSTON: Jutaan penduduk masih terputus bekalan elektrik di Texas, ibu kota minyak dan gas Amerika Syarikat (AS) kelmarin, serta berdepan kekurangan air ketika ribut salji luar biasa Uri melanda bahagian tenggara negara itu.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) mengeluarkan amaran ribut salji untuk hampir seluruh negeri dari timur Texas hingga ke negeri Pantai Timur Maryland.

NWS berkata, ribut membawa ais, hujan beku dan salji tebal ke beberapa bahagian di Texas, Louisiana, Arkansas dan Mississippi ketika ia melanda bahagian timur laut, menyebabkan terputus bekalan elektrik, kerosakan pokok dan menyebabkan pemanduan berbahaya.

Ia berkata, pergerakan besar-besaran udara Artik mula berkurangan di kawasan yang tidak biasa dengan cuaca sejuk melampau tetapi suhu dingin dijangka berterusan.

“Suhu akan kekal pada 20 hingga 35 darjah Fahrenheit, di bawah paras normal sepanjang Lembah, Dataran, Mississippi dan Great Lakes,” kata NWS.

Lebih 20 kematian berkaitan ribut dilaporkan di AS sejak cuaca sejuk tiba minggu lepas, kebanyakannya akibat kemalangan jalan raya.

Ratusan ribu penduduk di metropolis Houston di Texas mengalami masalah bekalan elektrik dan kehilangan tekanan air.

“Tekanan air sangat rendah ketika ini,” kata Datuk Bandar Houston Sylvester Turner dalam ciapan di Twitter.

Beberapa bandar raya di Texas menasihati penduduknya untuk memasak air sebelum diminum atau menggunakannya untuk memasak.

David Hernandez, 38 ,menghabiskan malam di sebuah gereja di Houston bersama penduduk lain yang meninggalkan kediaman mereka.

“Kereta saya terperangkap dalam salji dan saya cuba untuk tidur dalam kereta tetapi ia terlalu sejuk,” kata Hernandez.

“Cecair dalam kereta saya bertukar menjadi ais, seperti tidur dalam peti sejuk.

“Saya terpaksa datang ke sini. Tiada sebarang pilihan,” tambah beliau.

Syarikat tenaga di Texas melaksanakan catuan elektrik untuk mengelak jana kuasa terlebih penggunaan ketika penduduk meningkatkan penggunaan pemanasan.

Menurut PowerOutage.AS, lebih 2.7 juta pelanggan terputus bekalan elektrik di Texas kelmarin, satu-satunya negeri daripada 48 negeri di AS yang mempunyai jana kuasa elektrik bebasnya sendiri.

Beto O’Rourke, bekas calon presiden dari Parti Demokrat dari Texas, memberitahu televisyen MSNBC bahawa situasi di Texas lebih teruk daripada apa yang didedahkan dalam berita.

“Penduduk sudah mengharungi beberapa hari tanpa elektrik. Mereka menderita.

“Semua ini boleh dielakkan.

“Ibu kota tenaga di Amerika Utara tidak dapat memberikan tenaga yang diperlukan untuk memanas dan memberi tenaga kepada kediaman di negeri hebat ini.

“Kami menghampiri sebuah negeri yang gagal,” tambah O’Rourke.

Austin Energy, syarikat tenaga tempatan di bandar raya dengan populasi 950,000 berkata, hampir 200,000 pelanggannya terputus bekalan elektrik.

Syarikat itu mengeluarkan senarai lokasi pusat pemanasan yang diwujudkan di sekolah-sekolah tempatan.

Ketika syarikat-syarikat elektrik bergelut untuk memulihkan bekalan, Lapangan Terbang Antarabangsa Austin-Bergstrom menyambung semula penerbangan kelmarin selepas dua hari terhenti kerana salji tebal.

Jeff Zients, Penyelaras Respons Koronavirus Rumah Putih, berkata cuaca sejuk memberi kesan kepada penghantaran dan pengedaran vaksin COVID-19.

“Ada beberapa  tempat di negara ini, Texas salah satu daripadanya, di mana kawasan pemvaksinan terpaksa ditutup.

“Apa yang kami galakkan kepada kerajaan tempatan dan rakan kami ialah untuk melanjutkan tempoh operasi apabila ia dapat dibuka semula,” kata Zients. — AFP

Advertisement