Anda di sini

Rasuah projek pembinaan: Pengerusi syarikat, CEO direman tiga hari

Advertisement
 Seorang ketua pegawai eksekutif dan seorang pengarah syarikat direman selama lima hari bermula semalam sehingga 23 Februari kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor-kontraktor yang melaksanakan projek pengubahsuaian rangkaian restoran terkenal di Malaysia. — Gambar Bernama
KE MUKA PENGADILAN: Seorang ketua pegawai eksekutif dan seorang pengarah syarikat direman selama lima hari bermula semalam sehingga 23 Februari kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor-kontraktor yang melaksanakan projek pengubahsuaian rangkaian restoran terkenal di Malaysia. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Seorang pengerusi sebuah syarikat pembinaan direman selama tiga hari kerana disyaki terlibat dalam pemberian rasuah bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM110 juta daripada sebuah kementerian pada tahun 2012.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki berusia 67 tahun itu bermula semalam hingga 20 Februari selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret, di sini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat dibawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Beliau tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu akan ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam kes berlainan, seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) dan seorang pengarah syarikat direman selama lima hari bermula semalam sehingga 23 Februari kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor-kontraktor yang melaksanakan projek pengubahsuaian rangkaian restoran terkenal di Malaysia.

Menurut sumber SPRM, CEO berkenaan merupakan seorang lelaki warganegara Hong Kong berusia 60 tahun yang mempunyai taraf pemastautin tetap Singapura, manakala pengarah syarikat adalah wanita tempatan berusia 37 tahun.

Katanya, dalam proses melantik kontraktor-kontraktor bagi projek mengubah suai enam restoran di beberapa negeri, CEO tersebut dikatakan mengarahkan setiap kontraktor memberikan komisyen sebanyak 15 peratus daripada harga kontrak.

Menurut sumber itu, semua pembayaran rasuah kemudian dimasukkan ke dalam akaun syarikat lain milik pengarah syarikat berkenaan.

Kes disiasat di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009. — Bernama

Advertisement