Anda di sini

Manchester City dijangka juara EPL

Advertisement
 Antara babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Everton dan Manchester City yang berlangsung di Goodison Park. — Gambar AFP
AKSI TUMPUAN: Antara babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Everton dan Manchester City yang berlangsung di Goodison Park. — Gambar AFP

LONDON: Pengurus Everton, Carlo Ancelotti, menjangkakan Manchester City akan memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan selesa selepas City membuka jurang kelebihan 10 mata di singgahsana Liga Perdana Inggeris apabila menewaskan Everton 3-1 di Goodison Park pada Rabu.

Riyad Mahrez menjaringkan gol terbaik perlawanan, di antara gol Phil Foden dan Bernardo Silva ketika City memperbaharui rekod memenangi 17 perlawanan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris.

“Ia benar-benar sukar untuk menyebut kelab lain ketika ini,” kata Ancelotti apabila ditanya jika pasukannya ditewaskan oleh bakal juara.

“Mereka berada dalam prestasi hebat, mereka mempunyai kepercayaan dan kuat. Kami mencuba secara fizikal tetapi ia sukar berdepan Rodrigo, (Ruben) Dias dan (Aymeric) Laporte.”

Gol penyamaan Richarlison pada separuh masa pertama bagaimanapun menjadi gol sagu hati buat Everton, yang kini hanya menang sekali dari enam perlawanan terakhir dan ketinggalan lima mata dalam saingan untuk empat tangga teratas liga.

“Kami tidak perlu berasa kesal malam ini,” tambah Ancelotti ketika beliau membuat persediaan untuk perlawanan menentang kelab jiran, Liverpool pada Sabtu ini.

“Ia satu peluang yang hebat. Kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini kepada penyokong kami.”

Perlawanan pada Rabu adalah perlawanan tertangguh pada bulan Disember kerana penularan COVID-19 di City, yang mengancam menjejaskan impian mencabar kejuaraan liga mereka ketika itu.

Skuad kendalian Pep Guardiola berada di tangga kelapan pada bulan Disember tetapi belum tercicir sebarang mata dalam 10 perlawanan liga terakhir sejak itu untuk menjarakkan kedudukan dari pencabar lain.

City beraksi tanpa penyerang Ilkay Gundogan kerana kecederaan sementara Kevin De Bruyne kembali cergas untuk bermula di bangku simpanan dan hanya diturunkan pada lewat permainan.

Sergio Aguero juga antara pemain gantian tetapi Gabriel Jesus gagal mengambil sepenuh peluang untuk menyerlah ketika ketiadaan Aguero untuk hampir sepanjang musim ini dan beliau sekali lagi gagal menjaringkan gol.

City membuka jaringan dengan sedikit bantuan apabila rembatan Foden terkena Seamus Coleman dan mengelirukan penjaga gol Everton, Jordan Pickford.

Everton tidak kelihatan mahu menyerang sebelum bolos tetapi mereka mendapat ganjaran segera selepas ketinggalan apabila rembatan Lucas Digne terkena palang dan bola muntah disempurnakan Richarlison.

Namun City kembali di hadapan dengan satu gol cantik selepas 30  minit permainan.

“Kami mempunyai kualiti di barisan serangan tetapi ia sentiasa melalui hantaran tepat dan hebat,” kata Guardiola.

Gol ketiga menyusul 13  minit sebelum tamat permainan apabila gandingan Mahrez dan Jesus menemui Silva untuk melakukan rembatan.

Pada perlawanan lain, Fulham terlepas peluang merapatkan kedudukan dengan kurang empat mata dari zon selamat apabila Burnley bangkit dari ketinggalan sebelum mengikat kedudukan 1-1.

Kedua-dua pasukan menjaringkan gol pada awal separuh masa kedua ketika Ashley Barnes mengikat gol pembukaan Fulham yang dijaringkan Ola Aina.

Satu mata buat Fulham bagaimanapun membolehkan mereka merapati kedudukan dengan Newcastle United yang  berada di atas zon penyingkiran dengan kurang enam mata sementara Burnley kekal lapan mata di atas zon penyingkiran. — AFP

Advertisement