Anda di sini

Libya peringati revolusi singkir Gaddafi

Advertisement
 Dbeibah (tengah) tiba di Dataran Syahid di tengah Tripoli sempena ulang tahun ke-10 revolusi 2011, kelmarin.
BERGEMBIRA: Dbeibah (tengah) tiba di Dataran Syahid di tengah Tripoli sempena ulang tahun ke-10 revolusi 2011, kelmarin.

TRIPOLI: Libya kelmarin meraikan 10 tahun sejak permulaan kebangkitan yang menjatuhkan pemerintahan sejak sekian lama Muammar Gaddafi, tetapi menyebabkan negara itu terjerumus ke kancah keganasan berdekad-dekad tanpa undang-undang.

Di barat Libya, orang ramai berkumpul di medan awam utama untuk meraikan ulang tahun itu dengan membakar bunga api, perarakan tentera dan beberapa ucapan.

“Suasana hebat, orang ramai gembira,” kata Ziad Abdelhakkim Arabi, 22, di ibu kota Tripoli.

“Dengan izin Tuhan, keselamatan akan kembali ke negara kami.”

Abdul Hamid Dbeibah, perdana menteri sementara yang baru-baru ini dipilih perwakilan Libya dalam proses yang ditaja Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), berjalan di ibu kota dengan diiringi pengawal peribadi, kata seorang wartawan AFP.

Pemandu kenderaan yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya memasang muzik yang popular semasa revolusi 2011 dan ribuan penduduk berkampung di Dataran Syahid yang pernah menjadi lokasi popular Gaddafi apabila memberikan ucapan.

Tetapi di bahagian timur yang ditadbir pihak berkuasa berbeza yang menentang kehadiran tentera asing di barat, suasananya lebih suram.

Penduduk di Zawiya, berhampiran barat Tripoli, berarak ke pusat bandar raya di mana puluhan tentera pemberontak dibunuh pada 2011 selepas dikepung tentera Gaddafi.

Bendera digantung dari bangunan yang masih mempunyai kesan serangan mortar dan tembakan.

“Kesan itu akan kekal, jadi kami tidak lupa apa yang berlaku di sini,” kata Mofida Al-Romeih, yang kehilangan dua beradik dan seorang sepupu dalam insiden itu.

Sambutan peringatan itu hadir ketika PBB meningkatkan usaha untuk penyelesaian damai kepada konflik yang memecahbelahkan negara itu sejak penyingkiran dan pembunuhan Gaddafi yang disokong NATO.

Duta PBB Jan Kubis bertemu pemimpin Libya Selasa lalu dalam kunjungan pertama ke negara Afrika Utara itu sejak memegang jawatan dan menegaskan kepentingan untuk melaksanakan gencatan senjata pada Oktober tahun lepas.

Perjanjian damai rapuh itu kelihatan bertahan dalam beberapa bulan tetapi serangan mortar yang disasarkan di Sebha di selatan Libya ketika penduduk meraikan ulang tahun ini lewat Selasa, membunuh seorang kanak-kanak dan mencederakan 29 yang lain, kata misi PBB di Libya lewat kelmarin.

Ia mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam itu dan meminta siasatan dilakukan.

Turki, Rusia, dan Emiriyah Arab Bersatu (UA), menyokong beberapa pihak dalam konflik di Libya, memburukkan lagi perpecahan di negara itu selepas pembunuhan Gaddafi.

Ketika jalan-jalan di bandar raya di barat Libya diterangi lampu, sepanduk dan peringatan, sambutan agak hambar di timur di mana pentadbiran disokong militia Khalifa Haftar tidak begitu meraikannya.

Malah di bandar raya utama Benghazi di mana revolusi bermula 10 tahun lalu, tiada acara rasmi dirancang walaupun pihak berkuasa mengisytiharkan kelmarin sebagai cuti umum.

Tetapi orang ramai berkumpul di jalan-jalan di Benghazi kelmarin, ada juga yang membawa bendera kebangsaan dan gambar ahli keluarga yang terkorban dalam keganasan itu.

Kekalahan tentera Haftar pada Jun tahun lepas selepas 14 bulan serangan terhadap Tripoli membawa kepada perkembangan rundingan ditaja PBB untuk mencari satu penyelesaian.

Haftar secara rasmi menyokong penubuhan pihak berkuasa sementara awal bulan  ini sementara kerajaan lama Tripoli, juga menyokong perkongsian kuasa.

Tetapi kebanyakan kawasan di Libya masih dalam cengkaman militia yang wujud daripada kumpulan pemberontak yang menjatuhkan Gaddafi.

Beberapa kumpulan dituduh melakukan jenayah perang yang tidak dihukum kerana kepentingan militia kepada pakatan pesaing berkuasa di Tripoli dan Benghazi.

“Keadilan masih belum diberikan kepada mangsa jenayah perang dan pencabulan serius hak asasi manusia,” kata kumpulan Amnesty Antarabangsa dalam satu kenyataan.

Banyak kumpulan tentera asing campur tangan dalam konflik bertahun-tahun di Libya.

Semasa perang untuk merebut Tripoli pada 2019-2020, Haftar menerima sokongan ketenteraan daripada Rusia, UAE dan Mesir, manakala Kerajaan Perjanjian Kebangsaan (GNA) menerima sokongan Turki. — AFP

Advertisement