Anda di sini

Kes basikal lajak: Mahkamah Tinggi perintah jurujual bela diri

Advertisement
 Sam yang dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak empat tahun lepas diperintahkan untuk membela diri oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru semalam. — Gambar Bernama
BELA DIRI: Sam yang dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak empat tahun lepas diperintahkan untuk membela diri oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru semalam. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini semalam, mengarahkan seorang jurujual wanita yang dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak empat tahun lepas untuk membela diri.

Hakim Dr Shahanaz Sulaiman membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, sekali gus mengetepikan perintah dibuat Mahkamah Majistret di sini pada Oktober 2019 untuk melepas dan membebaskan Sam Ke Ting, 26.

Keputusan itu dibuat ketika prosiding keputusan rayuan pendakwaan terhadap perintah tersebut di sini, pagi semalam.

Mengikut pertuduhan, Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, secara melulu atau dengan berbahaya hingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada jam 3.20 pagi, 18 Februari 2017.

Kelapan-lapan mangsa terlibat ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14 (ketika kejadian); Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Sam didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda RM20,000, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain lesen memandu dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sepanjang proses perbicaraan.

Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan bagi pembelaan tertuduh selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Mei tahun ini.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Faizal Mokhtar. — Bernama

Advertisement