Anda di sini

Juve ‘sengaja’ memberikan FC Porto kemenangan mudah

Advertisement
 Babak aksi perlawanan pertama pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara di antara FC Porto dan Juventus di Stadium Dragao. — Gambar AFP
AKSI SEBENAR: Babak aksi perlawanan pertama pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara di antara FC Porto dan Juventus di Stadium Dragao. — Gambar AFP

PORTO: Perlawanan pertama Cristiano Ronaldo bersama Juventus di Portugal, berakhir dengan kekalahan 1-2 kepada FC Porto pada perlawanan pertama pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara pada Rabu.

Prestasi hambar Juventus itu menyebabkan jurulatihnya, Andrea Pirlo mendakwa anak buahnya menghadiahkan kemenangan kepada pasukan tuan rumah.

Mehdi Taremi meletakkan Porto di hadapan seawal minit ketujuh perlawanan di Estadio do Dragao selepas satu kesilapan Rodrigo Bentancur.

Dan Moussa Marega menjaringkan gol kedua tidak lama selepas rehat tetapi Federico Chiesa merapatkan kedudukan buat Juventus lapan minit sebelum tamat permainan untuk mengekalkan saingan menjelang perlawanan kedua pada 9 Mac depan.

“Pendekatan permainan adalah salah dari minit pertama,” kata Pirlo.

“Apabila anda bolos satu gol seperti itu, ia normal memberikan kesan kepada mentaliti pemain, anda akan kehilangan keyakinan.

“Porto bermain dengan baik menutup ruang dan selepas gol itu, yang semakin sukar. Kami memberikan mereka kemenangan pada perlawanan ini.

“Nasib baik kami menjaringkan gol penting dari rembatan Chiesa dan sekarang kami akan memberi fokus kepada perlawanan kedua.”

Ia adalah prestasi hambar Juventus, yang memburu kejuaraan ketiga mereka di Eropah tetapi yang pertama dalam tempoh 25  tahun.

Ronaldo, 36, gagal menjaringkan sebarang gol ketika berdepan pasukan yang diketuai bekas rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Portugal, Pepe, ketika Juve bergelut untuk bangkit selepas kesilapan awal yang menghasilkan gol pembukaan pasukan tuan rumah.

“Kami mengkaji Juventus dengan baik,” kata Pepe, yang memenangi tiga kejuaraan Liga Juara-Juara bersama Ronaldo ketika sama-sama bermain di Real Madrid.

“Kami tahu bahawa kami harus menyerang untuk mengelak Juventus bermain. Pada perlawanan seperti ini, ia sukar untuk bolos di tempat sendiri tetapi kami bermain dengan hebat.”

Ia permulaan mengejutkan buat Juventus, dengan penjaga gol Wojciech Szczesny menghantar bola kepada Bentancur, yang menolak kembali kepada penjaga golnya walaupun Taremi berada tidak jauh di pintu gol.

Penyerang antarabangsa Iran itu dengan pantas mengambil peluang untuk menjaringkan gol pertama beliau dalam Liga Juara-Juara.

Kapten Juventus, Giorgio Chiellini terpaksa dikeluarkan 10 minit kemudian selepas mengalami kecederaan, dan diganti oleh Merih Demiral.

Pirlo terpaksa merombak benteng pertahanan dengan Leonardo Bonucci tidak dapat beraksi kerana kecederaan Alex Sandro baharu pulih dan diturunkan bersama-sama Chiellini, Matthijs de Ligt dan Danilo.

Juventus menanti empat minit sebelum rehat untuk mempunyai cubaan tepat pertama dengan rembatan akrobatik Adrien Rabiot ditepis penjaga gol Porto, Agustin Marchesin, tetapi bendera ofsaid sudah diangkat penjaga garisan.

Juventus tersentak lagi pada awal separuh masa kedua apabila Marega menyempurnakan hantaran Wilson Manafa untuk gol kedua.

Ketika Porto membayangkan kelebihan dua gol untuk dibawa ke perlawanan kedua, Chiesea merapatkan kedudukan buat Juventus pada lewat permainan.

“Gol ini memberikan kami harapan pada perlawanan kedua, ia sememangnya perlawanan berbeza nanti,” kata Chiesa.

Ia adalah gol pertama dibolosi Porto dalam pertandingan ini di tempat sendiri pada musim ini. — AFP

Advertisement