Anda di sini

Atletico Madrid lepaskan peluang jarakkan diri di puncak liga dengan jurang besar

Advertisement
 Penyerang Atletico Madrid, Suarez (kiri) bertembung dengan penjaga gol Levante pada perlawanan La Liga di Stadium Ciutat de Valencia. — Gambar AFP
CARI GOL: Penyerang Atletico Madrid, Suarez (kiri) bertembung dengan penjaga gol Levante pada perlawanan La Liga di Stadium Ciutat de Valencia. — Gambar AFP

MADRID: Atletico Madrid gagal menjarakkan kedudukan di singgahsana La Liga Sepanyol dengan kelebihan lapan mata pada Rabu apabila diikat 1-1 di Levante pada perlawanan yang menyaksikan Angel Correa gagal menyempurnakan beberapa peluang terbaik.

Skuad kendalian Diego Simeone itu kini enam mata di hadapan pasukan di tangga kedua, Real Madrid dan kurang satu perlawanan tetapi melihat penguasaan di tangga teratas sedikit terjejas selepas dua seri dari tiga perlawanan.

Atletico memburu kejuaraan liga yang pertama sejak muncul juara pada 2014 tetapi mengalami beberapa keputusan mengecewakan ketika ini.

Levante membuat kejutan apabila membuka jaringan pada minit ke-17 dengan serangan pantas yang menyaksikan Enis Bardhi menyempurna hantaran Jorge de Frutos.

Atletico terus menguasai permainan tetapi bergelut melakukan penyudah kemas sehingga menjaringkan gol penyamaan lapan minit sebelum rehat.

Hantaran jauh Marcos Llorente tertanduk ke pintu gol sendiri oleh pemain pertahanan Levante, Robert Pier.

Llorente, 26, belum pernah menjaringkan gol dalam liga sejak bulan Februari tahun lepas dan sudah menjaringkan 11 gol dalam liga sejak itu.

Penjaga gol Levante, Aitor Fernandez, kemudian beraksi tangkas menepis beberapa cubaan Atletico,  termasuk rembatan kencang Luis Suarez.

Atletico hampir mendahului kedudukan selepas rehat tetapi selepas Fernandez menepis cubaan Suarez, Angel Correa gagal melakukan rembatan kemas walaupun pintu gol terbuka luas.

Mereka mensia-siakan beberapa lagi peluang sebelum Levante hampir menjaringkan gol kemenangan tetapi rembatan Carlos Clerc pada minit ke-89 berjaya ditepis penjaga gol Atletico, Jan Oblak. — AFP

Advertisement