Anda di sini

Ujian pemilihan berfasa dilaksana

Advertisement
 Ketua jurulatih skuad b19 Sabah, Roslan Wasli (kanan) bersama penolongnya, Sudirman Garamah.
JURULATIH: Ketua jurulatih skuad b19 Sabah, Roslan Wasli (kanan) bersama penolongnya, Sudirman Garamah.

- Pembentukan skuad bola sepak bawah 19 tahun Sabah

KOTA KINABALU: Ujian pemilihan berfasa akan dilaksnanakan untuk skuad bola sepak bawah 19 tahun Sabah bermula Sabtu ini.

Ketua jurulatih Roslan Wasli berkata, lebih 100 pemain terlibat dalam ujian pemilihan itu yang akan diadakan di Stadium Likas dan padang latihan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di Kompleks Sukan Kota Kinabalu (KSKK).

Roslan mengumumkan perlaksanaan ujian pemilihan itu selepas perbincangan dengan pegawai-pegawai SAFA di sini semalam.

Katanya, disebabkan melibatkan ramai pemain dan pematuhan syarat ketat Prosedur Operasi  Standard (SOP), ujian pemilihan itu terpaksa dibuat secara berfasa iaitu pada setiap penghujung  minggu.

"Senarai yang saya terima ada lebih 150 nama. Kebanyakan pemain ini adalah cadangan dari daerah-daerah tetapi saya difahamkan bahawa ada di antara mereka mungkin akan menarik diri disebabkan ada komitmen lain termasuk isu kerja.

"Bagaimanapun, jumlah yang akan sertai ujian pemilihan ini masih besar, jadi mustahil untuk kami melaksanakan sesi pemilihan secara besar-besaran sekaligus sebagaimana pada masa lalu dalam situasi (krisis COVID-19) sekarang.

"Oleh itu kami telah memutuskan untuk melaksanakan ujian pemilihan itu setiap penghujung minggu sekurang-kurangnya dalam lima fasa...dua hari setiap fasa dengan dua sesi iaitu sesi pagi dan petang setiap hari.  

"Staf kejurulatihan akan membantu saya mengenalpasti pemain terbaik dalam setiap fasa. Fasa akhir akan melibatkan pemain yang menduduki peperiksaan SPM atau STPM serta mereka yang ridak dapat menyertai pada awal fasa disebabkan komitmen lain," katanya.

Roslan berharap dapat membentuk skuad mantap yang akan dibarisi 25 pemain terbaik dari ujian pemilihan itu menjelang Mac depan.

"Kami akan cari pemain terbaik dari ujian pemilihan ini.

"Pemain dari skuad musim lalu yang masih layak beraksi  musim ini juga perlu melalui ujian pemilihan ini. 

"Ini bagi memastikan mereka masih berada di tahap terbaik ekoran rehat panjang selepas pembatalan pertandingan (Piala Belia) dan perlaksanaan Perintah Kawalan   Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu," katanya.

  • oleh
  • Advertisement