Anda di sini

Liverpool yakin temui semula rentak

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan pertama pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara di antara RB Leipzig dan Liverpool di Puskas Arena di Budapest. — Gambar AFP
AKSI TUMPUAN: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan pertama pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara di antara RB Leipzig dan Liverpool di Puskas Arena di Budapest. — Gambar AFP

BUDAPEST: Liverpool menemui semula prestasi yang hilang dan mengambil peluang dari perlawanan pertama pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara dengan menewaskan RB Leipzig 2-0 di Budapest pada Selasa.

Penyudah kemas dalam separuh masa kedua oleh Mohamed Salah dan Sadio Mane, kedua-dua gol dari kesilapan pertahanan Leipzig, menjadi penentu perlawanan dan menyebabkan Leipzig berdepan tugas sukar pada perlawanan kedua yang akan berlangsung pada 10 Mac depan.

Kemenangan meletakkan skuad kendalian Jurgen Klopp diambang suku akhir Liga Juara-Juara dan juga menamatkan tiga kekalahan berturut-turut yang menyebabkan mereka ketika ini ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City.

“Ia adalah satu perlawanan yang kami mahukan malam ini,” kata Klopp.

“Leipzig boleh menjadi lawan yang sukar. Cara mereka bermain dalam Bundesliga menyaksikan mereka menguasai lawan, mereka boleh bermain lasak dan malam ini kami mengawal mereka dengan cara yang hebat.

“Mereka mempunyai peluang kerana kualiti yang mereka ada tetapi kami mengawal permainan, jadi malam ini saya fikir kami mendapat keputusan selayaknya,” kata beliau.

Perlawanan pertama pusingan kedua ini dipindahkan dari Leipzig ke ibu negara Hungary, Budapest, kerana sekatan perjalanan Covid-19 di Jerman.

Walaupun terpaksa mengubah venue perlawanan, Leipzig, yang dibimbing Julian Nagelsmann, memenangi empat perlawanan berturut-turut di tempat sendiri di mana mereka kini di  tangga kedua Bundesliga Jerman di belakang Bayern Munich, bermula dengan memberangsangkan dan hampir membuka jaringan seawal minit keempat.

Pemain pertahanan kiri, Angelino, mengumpan bola kepada Dani Olmo, yang melakukan tandukan terbang melepasi penjaga gol Liverpool, Alisson Becker tetapi bola terkena palang.

Tidak lama selepas itu, Angelino sekali lagi mempunyai ruang tetapi rembatannya melambung tinggi.

Sebaliknya, Liverpool, yang cuba memulihkan prestasi hambar dan memerlukan semangat pada kejohanan ini, akhirnya menemui rentak dan mencipta beberapa peluang, kebanyakkannya dari kealpaan pertahanan Leipzig.

Pertama sekali apabila penjaga gol Leipzig, Peter Gulacsi menghadang cubaan Salah dan 10 minit kemudian, Mane melihat tandukannya sedikit tinggi.

Tidak lama sebelum rehat, Andy Robertson melihat cubaannya terkena palang ketika Gulacsi berada di luar posisinya ketika mengeluarkan bola bahaya dari luar kotak penalti.

Walaupun Leipzig kelihatan lebih yakin selepas rehat apabila Christopher Nkunku menguji Alisson, mereka dihukum dengan  dua kesilapan di benteng pertahanan.

Pada minit ke-53, Salah merampas hantaran lemah ke belakang oleh pemain tengah, Marcel Sabitzer, untuk membuka jaringan dan lima minit kemudian, Mane juga mengambil peluang dari kesilapan yang sama untuk menambah jaringan. — AFP

Advertisement