Anda di sini

Barcelona ‘tenat’ dibelasah PSG di Stadium Camp Nou

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan pertama pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara di antara Barcelona dan PSG di Stadium Camp Nou di Barcelona. — Gambar AFP
PERTEMBUNGAN DI UDARA: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan pertama pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara di antara Barcelona dan PSG di Stadium Camp Nou di Barcelona. — Gambar AFP

BARCELONA: Kylian Mbappe ‘menghancurkan’ Barcelona pada Selasa dengan menjaringkan hatrik ketika membantu Paris Saint Germain (PSG) menang 4-1 pada perlawanan pertama peringkat 16 akhir Liga Juara-Juara.

Mbappe menunjukkan statusnya sebagai bintang berbakat bola sepak dunia dengan aksi cemerlang di Camp Nou yang pastinya akan diingati sebagai salah satu prestasi individu hebat dalam pertandingan ini.

Penyerang berusia 22 tahun itu mengatasi bintang Barcelona, Lionel Messi, yang membuka jaringan buat Barca dari satu tendangan penalti tetapi selepas itu, beliau kelihatan lebih seperti nota kaki di akhir perlawanan.

Moise Kean juga menjaringkan gol pada pertengahan separuh masa kedua dengan satu tendangan percuma cantik ketika PSG mencipta kemenangan memberangsangkan.

Mbappe mengucar-kacir pertahanan Barca sepanjang perlawanan.

“Pemain hebat menulis cerita mereka pada perlawanan yang penting seperti ini,” kata jurulatih PSG, Mauricio Pochettino.

“Kami tidak mempunyai sebarang keraguan sebelum perlawanan dan juga malah semakin kurang sekarang kerana kami melihat seorang pemain yang hebat.”

Jurulatih Barca, Ronald Koeman mengambil risiko dengan tahap kecergasan pemain pertahanannya, Gerard Pique, yang belum bermain satu perlawanan sejak hampir tiga bulan kerana kecederaan. Tetapi apa yang memburukkan lagi keadaan, Pique dikeluarkan pada lewat permainan ketika PSG ‘mengamuk’.

Ia pastinya pengalaman buruk buat skuad muda Koeman, yang ada menunjukkan petanda kebangkitan sejak beberapa minggu dalam La Liga Sepanyol tetapi mereka terdedah sekali lagi apabila menentang lawan dalam kelas yang berbeza.

Koeman ditanya jika beliau mahu terus menjadi jurulatih tetapi beliau tetap yakin.

“Saya menerima kekalahan dan akan kembali bekerja. Jika saya seorang yang sangat gembira apabila kami  menang dan kemudian dengan keputusan seperti ini saya berkata saya tidak mempunyai semangat untuk terus bekerja, ia pastinya gila.

“Saya tahu di mana kedudukan kami, ia harus diubah. Kami tidak berada di penghujung jalan, kami masih di separuh jalan.”

Walaupun tanpa dua bintang utama yang cedera, Neymar dan Angel Di Maria, PSG ternyata terlalu kuat.

Pochettino meraikan kemenangan dengan penuh kegembiraan, terutama sekali ia akan meningkatkan kredibiliti beliau sebagai jurulatih.

Amaran awal hadir kepada Barca apabila Mbappe melepasi pertahanan Barca seawal 52 saat selepas sepak mula perlawanan tetapi penjaga gol Barca, Marc-Andre ter Stegen beraksi tangkas.

Umpanan Messi membawa kepada gol pertama apabila Layvin Kurzawa mengasari Frenkie de Jong dalam  kotak penalti, yang tidak menghadapi masalah untuk menyempurna penalti untuk meletakkan Barca di hadapan.

PSG tersentak seketika dengan gol itu dan lima minit kemudian, Barca hampir menambah jaringan apabila Messi melakukan umpanan kepada Ousmane Dembele tetapi gagal melakukan sentuhan kemas.

Ketika Barca semakin yakin, mereka leka di benteng pertahanan, membolehkan PSG bangkit dengan Mbappe mengikat kedudukan apabila menewaskan Ter Stegen dalam kotak penalti.

Gol itu meningkatkan lagi semangat PSG, dengan Kurzawa melihat cubaannya ditepis Ter Stegen sebelum Barca menarik nafas lega menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan terikat 1-1.

Namun PSG memulakan separuh masa kedua dengan lebih yakin dan Mbappe terus mencemaskan pertahanan Barca dan meletakkan PSG di hadapan buat kali pertama pada minit ke-65 selepas Ter Stegen gagal menepis kemas rembatan Kean.

Kean menjaringkan gol ketiga dari  umpanan Leandro Daniel Paredes sebelum Mbappe melengkapkan jaringan dan hatrik beliau pada minit ke-85. — AFP

Advertisement