Anda di sini

Alaba akan tinggalkan Bayern Munich tanpa yuran perpindahan

Advertisement
ALABA
ALABA

MUNICH: David Alaba akan meninggalkan Bayern Munich tanpa yuran perpindahan pada akhir musim ini, menurut pengesahan pemain itu pada Selasa.

Alaba, yang sudah memenangi sembilan kejuaraan Bundesliga Jerman dan dua trofi Liga Juara-Juara semasa di Bayern, dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid, Manchester City, Liverpool dan Chelsea namun beliau masih belum mengumumkan langkah seterusnya.

“Saya sudah membuat keputusan untuk mencuba sesuatu yang baharu selepas musim ini dan meninggalkan kelab. Ia adalah keputusan yang sukar. Saya sudah berada di sini selama 13 tahun. Saya mempunyai begitu banyak kenangan di sini,” kata Alaba.

“Saya belum membuat keputusan apa seterusnya. Saya membuat keputusan untuk mencari cabaran baharu. Kerana itu saya mengambil sedikit masa.

“Saya mempunyai lima, enam, tujuh tahun lagi dalam kerjaya saya. Kerana itu saya membuat keputusan untuk mencuba sesuatu yang baharu.”

Hari-hari terakhir beliau di kelab diselubungi dengan situasi kontraknya apabila Bayern menarik balik tawaran kontrak pada musim luruh, tidak lama selepas bekas presiden kelab, Uli Hoeness menuduh ejen Alaba, Pini Zahavi sebagai ‘tamak wang’.

Bayern kemudian berkata pintu masih  terbuka untuk beliau kekal di kelab tetapi pemain berusia 28 tahun itu sudah membuat keputusan untuk meninggalkan Allianz Arena.

Alaba, yang juga memenangi enam trofi Piala Jerman, lima Piala Super Jerman dan Piala Super Eropah dan dua Piala Kelab Dunia, menyertai Bayern sebagai pemain remaja pada 2008 dan membuat penampilan kompetetif sulung ketika menewaskan Greuther Furth 6-2 dalam Piala Jerman pada Februari 2010. Sehingga kini, beliau membuat 415 penampilan kompetetif bersama Bayern dan juga beraksi 76 kali untuk skuad kebangsaan Austria.

Bermula sebagai pemain tengah, beliau ditukarkan ke posisi pertahanan kiri oleh jurulatih Bayern ketika itu, Louis van Gaal pada 2010 tetapi yang terbaharu, beliau dipindahkan ke posisi pertahanan tengah, pertama sekali oleh bekas jurulatih Niko Kovac dan sekarang Hansi Flick, selepas Alphonso Davies menyerlah di posisi pertahanan kiri.

Sebagai pemain pertahanan tengah, Alaba beraksi cemerlang ketika Bayern memenangi kejuaraan Bundesliga buat kali kelapan berturut-turut pada musim lepas dan kemudian mencipta sejarah memenangi Piala Super Jerman, Liga Juara-Juara, Piala Super Eropah dan akhirnya Piala Kelab Dunia minggu lepas. — AFP

Advertisement